1. 0 PRAKATA
2. 0 PENDAHULUAN
2.1 SELAYANG PANDANG SEJARAH PERTUMBUHAN ILMU MUSTALAH DAN PERINGKAT-PERINGKATNYA
2.2 KARANGAN-KARANGAN YANG TERKENAL DI DALAM ILMU MUSTALAH
2.3 DEFINISI-DEFINISI ASAS
3.0 BAB PERTAMA : AL-KHABAR
3.1 FASAL PERTAMA : Pembahagian Al-Khabar berdasarkan kepada jalan dan cara sampainya kepada kita.
3.1.1 PERBAHASAN PERTAMA: AL-KHABAR AL-MUTAWATIR
3.1.2. PERBAHASAN KEDUA: KHABAR AL-AHAD
3.2 – FASAL KEDUA : Klasifikasi Khabar Ahad berdasarkan kepada kekuatan dan kelemahannya
3.2.1 Al-Khabar al-Maqbul
3.3 - FASAL KETIGA: KHABAR MARDUD
3.3.1 PERBAHASAN PERTAMA : DHAIF
3.3.2 Perbahasan Kedua: Mardud Dengan Sebab Gugur Perawi Dari Sanad
3.3.3 PERBAHASAN KETIGA : Mardud dengan sebab kecaman pada perawi
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
1. PRAKATA
Segala pujian bagi Allah s.w.t. yang telah mengurniakan nikmat kepada orang-orang Islam dengan menurunkan al-Qur’an, menjamin untuk menjaganya dalam dada dan suratan hingga hari akhirat dan menjadikan penjagaan sunnah Penghulu sekalian rasul antara penyempurnaan penjagaan al-Qur’an.
Selawat dan salam buat Penghulu dan Nabi kita yang Allah s.w.t. mewakilkan baginda untuk menjelaskan perkara yang dikehendakiNya dari al-Qur’an dengan firmanNya:
وأنزلنا إليك الذكر لتبين للناس ما نزل إليهم ولعلهم يتفكرون
“Dan Kami turunkan kepadamu al-Qur`an agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka supaya mereka memikirkan.”
Lalu Rasulullah s.a.w. bangun sebagai seorang yang menjelaskan al-Qur’an dengan ucapan-ucapannya, perbuatan-perbuatannya, pengakuan-pengakuannya dengan gaya jelas lagi terang.
Keredhaan buat para sahabat yang menerima secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. lalu mereka menjaganya dan memindahkan kepada orang-orang Islam sebagaimana mereka mendengarnya dalam keadaan suci dan murni dari kekeruhan pengubahan dan penukaran.
Rahmat dan keampunan untuk salaf yang soleh yang menukilkan sunnah daripada generasi demi generasi dan mereka telah meletakkan prinsip-prinsip dan neraca-neraca yang halus untuk menjaga penukilannya dan periwayatannya demi memurnikannya dari penyelewengan golongan yang batil.
Balasan yang mulia untuk mereka yang menjejaki salaf dari kalangan ulama Islam yang menerima prinsip-prinsip periwayatan sunnah dan neraca-neracanya daripada salaf, lalu mereka menyaringnya, menyusunkannya dan mengumpulkannya di dalam karangan-karangan yang berasingan yang kemudiannya dinamakan dengan ilmu mustalah hadis.
Ketika penulis ditugaskan mengajar ilmu mustalah hadis sejak bertahun-tahun di Kulliyyah Syariah di Universiti Islam Madinah, yang ketika itu teksnya “Ulum al-Hadith” karangan Ibn al-Salah kemudian digantikan pula dengan kitab ringkasannya “al-Taqrib” tulisan Imam al-Nawawi, penulis bersama dengan para mahasiswa mengalami kesukaran dalam mempelajari kedua-dua kitab secara kulit ke kulit walaupun ianya sangat hebat dan faedahnya melimpah. Antara kesukaran tersebut ialah perincian dan penjelasan pada sesetengah perbahasan terutamanya pada kitab Ibn al-Salah. Di samping terlalu ringkas di tempat yang lain terutamanya pada kitab Imam al-Nawawi. Lain-lain kesukaran seperti frasa-frasa kitab yang sukar difahami, perbahasan-perbahasan yang tidak lengkap seperti tidak mengemukakan definisi, mengabaikan contoh, tidak menyatakan faedah perbahasan, tidak menyebut karangan-karangan yang terkenal dan sebagainya. Demikian juga yang penulis temui dalam kitab-kitab ulama terdahulu yang lain malah sesetengah kitab itu tidak meliputi semua ilmu-ilmu hadis. Setengahnya pula tidak disaring dan tidak tersusun. Kemaafan bagi mereka sama ada perkara-perkara yang mereka tinggal tersebut jelas kepada mereka atau kerana keperluan zaman mereka untuk didetailkan sesetengah perbahasan atau sebab-sebab lain yang kita ketahui dan tidak ketahui.
Oleh itu, penulis ingin menyediakan satu buku yang mudah tentang mustalah hadis dan ulum hadis untuk para mahasiswa Kulliyyah Syariah yang akan memudahkan mereka memahami kaedah-kaedah ilmu ini. Penulis membahagikan setiap perbahasan kepada perenggan bernombor yang dimulakan dengan definisi diikuti dengan contohnya dan kemudian pembahagiannya…. diakhiri dengan perenggan tentang karangan-karangan yang terkenal dalamnya. Semua itu dengan frasa yang mudah, laras ilmiah jelas tanpa kesukaran dan kerumitan. Penulis tidak menyentuh kebanyakan khilafiah, pendapat-pendapat dan meluaskan perbahasan bagi menjaga masa yang ringkas yang dikhususkan untuk subjek ini di Kuliyyah Syariah dan Kulliyyah Pengajian Islam.
Penulis menamakan buku ini dengan Taysir Mustalah al-Hadith. Penulis tidak berpendapat dengan buku ini, kitab-kitab ulama terdahulu dalam ilmu ini tidak diperlukan lagi. Penulis hanya bertujuan menjadikannya sebagai anak kunci, catatan tentangnya dan pemudah untuk memahami maknanya. Kitab-kitab para imam dan ulama terdahulu tetap terus menjadi rujukan ulama dan ahli ikhtisas ilmu ini dan merupakan mata air melimpah yang mereka menceduk darinya.
Penulis tidak lupa untuk menyebutkan bahawa sejak akhir-akhir ini terbit beberapa tulisan pengkaji yang sangat bermanfaat terutamanya sanggahan terhadap kekeliruan orientalis dan golongan menyeleweng. Cuma sesetengahnya berjela, terlampau ringkas dan ada yang tidak meliputi kesemua topik. Oleh itu, penulis mahu buku ini menjadi pertengahan di antara yang terlalu mendalam dan yang terlalu ringkas dan meliputi kesemua perbahasan.
Yang baru dalam buku ini ialah:
1. Pembahagian setiap perbahasan kepada perenggan bernombor yang memudahkan pelajar memahaminya.
2. Kesempurnaan pada setiap perbincangan dari segi rangka umum seperti mengemukakan definisi, contoh dan sebagainya.
3. Meliputi semua perbahasan mustalah hadis secara ringkas.
Dari segi penyusunan bab, penulis memanfaatkan kaedah Hafiz Ibn Hajar di dalam kitabnya “Nukhbah al-Fikar” dan syarahnya “Nuzhah al-Nazar” kerana ia merupakan susunan terbaik yang diusahakan oleh beliau. Kebanyakan perbahasan ilmiah penulis bergantung kepada kitab “Ulum al-Hadith” oleh Ibn al-Salah, ringkasannya “al-Taqrib” oleh al-Nawawi dan syarahnya “Tadrib al-Rawi” oleh al-Suyuti.
Penulis membahagikan buku ini kepada pendahuluan dan empat bab. Bab pertama tentang khabar, bab kedua tentang al-jarh wa al-ta`dil, bab ketiga tentang riwayat dan prinsip-prinsipnya dan bab keempat tentang sanad dan pengetahuan tentang para perawi.
Dalam mempersembahkan usaha yang tidak seberapa ini kepada para mahasiswa, penulis menginsafi akan kelemahan dan kekurangan dalam menunaikan hak ilmu ini dan penulis tidak mendakwa diri ini bersih dari kegelinciran dan kesilapan. Adalah diharapkan pembaca yang menemui kesilapan dalam buku ini mengingatkan penulis agar dapat penulis membetulkannya. Penulis berharap kepada Allah s.w.t agar para mahasiswa dan mereka yang terlibat dengan hadis mendapat manfaat daripadanya serta Dia menjadikannya sebagai amal ikhlas keranaNya.
atas
2. PENDAHULUAN
• Selayang pandang sejarah pertumbuhan ilmu mustalah dan peringkat-peringkatnya
• Tulisan-tulisan yang terkenal
• Definisi-definisi asas

Seorang penyelidik dapat mengamati asas-asas dan prinsip-prinsip periwayatan dan nukilan cerita ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Al-Quran menyebutkan:
يا أيّها الذين آمنوا إن جاءكم فاسق بنبأ فتبينوا
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti.”
Al-Sunnah pula mengatakan:
نضّر الله امرأ سمع منّا شيئا فبلّغه كما سمعه فربّ مبلّغ أوعى من سامع
“Semoga Allah menyinari seseorang yang mendengar sesuatu hadis daripada kami lalu dia menyampaikannya mengikut apa yang didengari. Maka betapa ramai orang disampaikan berita itu lebih menjaganya daripada orang yang mendengarnya”
(Riwayat al-Tirmizi, Tuhfah al-Ahwazi 7/453).
Di dalam riwayat yang lain pula disebutkan:
فربّ حامل فقه إلى من هو أفقه منه وربّ حامل فقه ليس بفقيه
“Alangkah banyaknya orang yang membawa fiqh kepada orang yang lebih memahami daripadanya. Dan betapa banyak orang yang membawa fiqh tetapi ia bukan seorang faqih.” (Abu Daud, Aun al-Ma’bul 10/54).
Di dalam potongan al-Quran dan hadis ini, terdapat prinsip kepastian dalam menukilkan cerita, cara-cara menjaganya dan berhalus serta teliti di dalam menyampaikannya, terutamanya apabila ragu-ragu tentang kebenaran penyampaiannya. Daripada sinilah jelas kepada kita tentang kepentingan dan nilai sanad dalam penerimaan dan penolakan riwayat.
Di dalam muqaddimah “Sahih” nya, Imam Muslim menukilkan kata-kata Ibn Sirin, “ Tidak pernah ulama bertanyakan tentang sanad. Tetapi apabila berlaku fitnah, mereka berkata: Sebutkan kepada kami tokoh-tokoh kamu. Lalu dilihat kepada ahli sunnah maka diambil riwayat mereka kemudian dilihat pula kepada ahli bid’ah lalu tidak diambil riwayat mereka”
Berdasarkan kepada prinsip ini, riwayat tidak boleh diterima kecuali setelah diketahui sanadnya, maka muncullah ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil, perbincangan terhadap perawi, pengetahuan tentang sanad muttasil (bersambung) dan munqati (terputus) dan pengetahuan tentang kecacatan yang tersembunyi. Kemudian muncul pula perbincangan tentang para perawi tetapi tidak banyak kerana tidak ramai perawi-perawi yang ditajrihkan pada peringkat awal.
Kemudian ulama meluaskan perbincangan ilmu-ilmu tersebut sehingga muncul banyak ilmu yang berkaitan dengan hadis dari sudut penjagaan, catatan, method (kaedah) penerimaan dan penyampaian, pengetahuan tentang nasikh dan mansukh, perkataan yang sukar (gharib) dan sebagainya. Walaubagaimanapun semuanya itu disentuh oleh para ulama secara lisan.
Perkembangan terus berlaku sehinggalah ilmu-ilmu yang berkaitan dengan hadis ini dicatit dan dibukukan tetapi masih lagi berselerak di dalam pelbagai kitab dan bercampur dengan ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu usul, fiqh dan hadis. Ini dapat dilihat di dalam karya Imam Syafii di dalam al-Risalah dan Al-Umm.
Setelah ilmu-ilmu ini matang dan istilah-istilahnnya kemas serta dapat berdiri sendiri iaitu pada abad ke empat Hijrah, ulama telah menyusun secara berasingan ilmu mustalah hadis. Ulama pertama yang menulis secara terpisah penulisan mustalah hadis dalam kitab yang khusus ialah Muhammad al-Hassan al Ramahurmuzi (meninggal 360H) dengan kitabnya “al-Muhaddith al-Fasil Baina al-Rawi wa al-Wa’iy”.

1. Al-Muhaddith al-Fasil Bayu al-Rawi wa al-Wa’iy
Kitab ini ditulis oleh al-Qadhi Muhammad al-Hassan bin Abdul Rahman bin Khallad al-Ramahurmuzi (wafat 360H), tapi beliau tidak meliputi kesemua perbahasan mustalah hadis. Senario begini biasanya berlaku kepada orang yang mula-mula merintis dalam menulis mana-mana ilmu.
2. Ma’rifah ‘Ulum al-Hadith
Penulisnya Abu Abdullah al Hakim al-Nisaburi (wafat 405H). Kitab ini meliputi 52 jenis ilmu hadis bagaimanapun ia tidak tersusun mengikut tertib ilmu mustalah.
3. Al-Mustakhraj ‘ala Ma’rifah ‘Ulum al-Hadith
Ditulis oleh Abu Nu’aim Ahmad bin Abdullah al-Asfahani (wafat 430H). Beliau menambah beberapa kaedah yang tidak disebutkan oleh al-Hakim. Dalam pada itu masih ada beberapa fasal yang tertinggal yang mungkin dapat ditambah oleh orang lain.
4. Al-Kifayah Fi ilm Al-Riwayah
Karangan Abu Bakar Ahmad Bin Ali Bin Thabit Al-Khatib Al-Baghdadi (W463). Sebuah kitab yang lengkap dengan permasalahan-permasalahan ilmu mustalah yang telah disaring, menjelaskan kaedah-kaedah periwayatan dan diakui sebagai sumber utama ilmu ini.
5. Al-Jami’ Li Akhlaq Al-Rawi Wa Adab Al-Sami’ juga ditulis oleh AL-Khatib Al Baghdadi. Ia membincangkan etika periwayatan sebagaimana jelas tertera pada tajuknya. Kitab ini merupakan rujukan yang unik dalam masalah ini dan sangat bernilai dari segi kajian-kajian dan bahan-bahannya atau kandungannya. Sangat sedikit sekali bidang-bidang ulum hadis yang tidak ditulis oleh beliau melainkan ada karangan yang berasingan tentangnya. Benar sekali kata-kata Al-Hafiz Abu Bakar Bin Nuktah: “Setiap orang yang adil pasti mengetahuii bahawa semua muhaddithin selepas beliau adalah bergantung kepada kitab-kitabnya.”
6. Al-Ilma‘ ila Ma’ rifah usul Al-Riwayah Wa Taqyid Al-Sama’ ditulis oleh Qadhi Iyad Bin Musa Al-Yahsub ( w 544 ) kitab ini tidak meliputi kesemua perbahasan ilmu mustalah tetapi hanya berkaitan dengan kaedah penerimaan dan penyampaian hadis serta cabang-cabangnya. Kitab ini sangat baik dalam bab ini dan mempunyai susunan yang indah.
7. Ma La Yasa’ al-Muhaddith Jahluh
Ditulis oleh Abu Hats Umar bin Abdul Majid al-Mayanaji (W 580H). Ia merupakan satu risalah yang ringkas.
8. ‘Ulum al-Hadith
Karangan Abu ‘Amr Uthman bin Abdul Rahman Shahrazuri yang lebih dikenali dengan Ibn al-Salah (W643). Kitab ini sangat terkenal dan merupakan antara kitab-kitab yang terbaik dalam ilmu mustalah. Pengarangnya menghimpunkan perbahasan-perbahasan yang terselerak di dalam karangan-karangan al-Khatib al Baghdadi dan ulama sebelumnya. Kitab ini penuh dengan fakta-fakta penting cumanya ia tidak tersusun dengan rapi. Ini kerana pengarang mendiktekan satu demi satu kepada pelajar-pelajar beliau. Ia telah diringkaskan, dinazamkan, dikritik dan juga disokong.
9. Al-Taqrib wa al-Taysir Li Ma’rifah Sunan al-Basyir al-Nazir
Ditulis oleh Muhyi al-Din Yahya bin Syaraf al-Nawawi (W676). Kitab ini merupakan ringkasan kepada kitab “`Ulum Hadith Ibn Salah”. Kitab ini sangat baik namun kadang-kadang terdapat frasa-frasa yang sukar difahami.
10. Tadrib al-Rawi Fi Syarh Taqrib Al-Nawawi
Ditulis oleh Jalaluddin Abdul Rahman bin Abi Bakr al-Suyuti (W 911) merupakan ulasan kepada karangan “Taqrib” al-Nawawi. Pengarangnya mengumpul pelbagai fakta penting yang berguna.
11. Nazm al-Durar fi ilm al-Athar
Pengarang ialah Zainuddin Abdul Rahim bin Al-Husain al-Iraqi (W 806) ungkapan-ungkapan syair ini terkenal dengan “Alfiyah al-Iraqi”. Beliau telah menazamkan kitab “`Ulum Hadith Ibn Salah” dengan membuat beberapa tambahan. Ia sangat baik dan banyak mempunyai fakta-fakta penting dan ditulis beberapa ulasan. Antaranya dua ulasan yang disusun oleh pengarang sendiri (Fath al-Mughith- al-Iraqi).
12. Fath al-Mughith Fi Syarh Alfiyah al-Hadith
Ditulis oleh Muhammad bin Abdul Rahman (W902) merupakan penjelasan kepada “Alfiyah al-Iraqi”. Ia huraian yang paling lengkap dan baik bagi “Alfiyah”.
13. Nukhbah al-Fikar Fi Mustalah Ahl al-athar
Karangan al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani (W 852). Sebuah risalah yang terlalu ringkas tetapi sangat baik dan bermutu. Pengarang telah mencipta dan pembahagian yang baru yang tidak pernah ada sebelum ini . Beliau sendiri menghuraikannya dengan diberi nama “Nuzhah al-Nazar” dan kitab ini juga telah diberi penjelasan oleh ulama lain.
14. Al-Manzumah al-Bayquniyyah
Disusun oleh Umar bin Muhammad al-Bayquni (W 1030). Ia merupakan nazam yang sangat ringkas tidak melebihi 34 bait dan baik. Ia telah dihuraikan dengan banyaknya oleh ulama.
15. Qawa’id al-Tahdith
Disusun oleh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi (W 1332) merupakan karya yang sangat bermutu. Di samping itu terdapat banyak lagi kitab-kitab lain untuk disebutkan dan penulis hanya menyebutkan yang masyhur sahaja. Semoga Allah s.w.t memberi ganjaranNya kepada kita semua.
atas
2.3 DEFINISI-DEFINISI ASAS
1. Ilmu al-Mustalah:
Ilmu tentang prinsip-prinsip dan kaedah untuk mengetahui keadaan sanad dan matan dari segi penerimaan dan penolakan.
2. Subjeknya:
Sanad dan matan dari segi penerimaan dan penolakan.
3. Faedahnya: membezakan di antara hadis yang sahih daripada hadis yang bermasalah.
4. Al-Hadith
Dari sudut bahasa: yang baru, ahadith merupakan kata jama’nya yang dibuat dengan tidak mengikut kaedah qias.
Dari segi istilah: Perkara yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. dalam bentuk ucapan, perbuatan, pengakuan atau sifat.
5. Al-Khabar
Dari segi bahasa bermaksud berita, jama’nya akhbar. Dari segi istilah ada tiga pendapat:
a) Ia adalah sinonim dengan al-Hadith dari segi istilah.
b) Antonim dengan al-hadith iaitu al-hadith ialah perkara yang datang daripada Rasulullah s.a.w. manakala al-Khabar datang daripada orang lain.
c) Lebih umum daripada al-Hadith iaitu al-Hadith sesuatu yang berpunca daripada Rasulullah s.a.w. sedangkan al-Khabar berpunca daripada Rasulullah s.a.w. dan juga orang lain.
6. Al-Athar
Dari sudut bahasa bererti baki sesuatu benda.
Manakala dari segi istilahnya ada dua pendapat:
a) Sinonim bagi al-Hadith
b) Antonim bagi al-hadith iaitu al-Khabar ialah sesuatu yang disandarkan kepada sahabat dan tabi’in sama ada ucapan atau perbuatan.
7. Al-Isnad: Mempunyai dua pengertian iaitu,
a) Menyandarkan hadis kepada pengucapnya dengan secara bersanad.
b) Turutan perawi-perawi yang sampai kepada matan.
8. Al-Sanad
Dari segi bahasa bermaksud yang dipegang dinamakan begitu kerana hadis itu disandarkan kepada al-Sanad dan berpegang kepadanya.
Dari segi istilah bermaksud turutan jaluran perawi-perawi sehingga sampai kepada matan.
9. Al-Matn (Matan)
Dari segi bahasa ia bererti tanah yang keras dan tinggi.
Manakala dari segi istilah ia bermaksud ucapan yang menjadi tempat yang berakhirnya sanad.
10. Al-Musnad
Dari segi bahasa ia bermaksud kata nama objek dari asnada `al-syai` ilayhi’ dengan erti menyandarkan dan menisbahkan.
Dari segi istilahnya ia mempunyai tiga makna:
a) Setiap kitab yang terkumpul padanya riwayat-riwayat semua sahabat secara berasingan.
b) Al-Hadith al-marfu’ yang bersambung sanadnya atau yang sanadnya bersambung.
c) Semakna dengan sanad atau dengan erti sanad dengan itu adalah al-musnad masdar mimi( masdar yang dimulakan dengan huruf mim).
11. Al-Musnid
Seorang yang meriwayatkan hadis dengan bersanad sama ada dia memahaminya atau semata-mata meriwayatkan.
12. Al-Muhaddith
Seorang yang melibatkan diri dalam ilmu hadis riwayah dan dirayah dan mengetahui kebanyakan riwayat-riwayat hadis serta mengenali keadaan perawi-perawinya.
13. Al-Hafiz
Ada dua pendapat
a) Semakna dengan Al-Muhadith. Ini mengikut kebanyakan ahli-ahli hadis.
b) Seorang yang lebih tinggi kedudukan daripada al-Muhadith iaitu pengetahuannya terhadap riwayat dalam setiap tabaqat lebih banyak daripada yang tidak diketahuinya.
14. Al-Hakim
Seorang yang ilmunya yang meliputi kesemua hadis sehingga tidak terlepas daripadanya kecuali beberapa hadis sahaja. Ini mengikut sebahagian ulama.
atas
3.0 BAB PERTAMA : AL-KHABAR
Fasal pertama: Pembahagian al-Khabar berdasarkan sampainya kepada kita
Fasal kedua: al-Khabar al-Maqbul (yang diterima)
Fasal ketiga: Al-Khabar al-Mardud (yang ditolak)
Fasal keempat: Al-Khabar yang berkongsi sifat Maqbul dan Mardud.

Berdasarkan kepada sampainya kepada kita, al-Khabar terbahagi kepada dua iaitu:
a) Sekiranya ia mempunyai beberapa jalan yang tidak dapat dihitung bilangannya ia adalah Al-Mutawatir
b) Sekiranya ia mempunyai beberapa jalan yang dapat ditentukan bilangannya ia adalah Al-Ahad.
Setiap bahagian ini mempunyai beberapa bahagian dan perincian yang akan disentuh nanti, Insya Allah.

Definisi:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama pelaku daripada perkataan al-tawatur iaitu yang berturut-turut seperti contoh tawatara al-matar iaitu hujun turun berturut-turut.
Dari segi istilah ia bererti khabar yang diriwayatkan oleh bilangan yang ramai dan pada kebiasaannya mustahil mereka berpakat untuk berdusta.
Huraian definisi:
Al-khabar atau al-hadith yang diriwayatkan oleh setiap tabaqat sanad oleh ramai perawi yang menurut hukum aqal atau secara logiknya mustahil mereka bersetuju untuk mereka-reka al-khabar ini.
Syarat-syarat al-Mutawatir
Jelas daripada huraian istilah tadi bahawa al-tawatur tidak akan ada pada al-khabar melainkan dengan adanya empat syarat iaitu:
1. Diriwayatkan oleh bilangan perawi yang ramai; terdapat perbezaan pendapat dalam menentukan had minimum bagi bilangan yang ramai ini. Pendapat yang terpilih ialah seramai sepuluh orang.
2. Bilangan yang ramai ini terdapat dalam setiap tabaqah sanad.
3. Pada kebiasaannya mustahil yang mereka berpakat untuk berdusta
4. Asas bagi khabar ini adalah indera seperti kami mendengar, kami melihat, kami merasai dan sebagainya. Tetapi sekiranya sandaran khabar ini ialah aqal seperti pendapat tentang alam ini baru, pada ketika itu al-khabar tidak boleh dinamakan dengan Al-Mutawatir.
Hukumnya:
Al-Mutawatir menghasilkan ilmu yang pasti iaitu ilmu yang diyakini dan seseorang itu mempercayai atau membenarkan dengan tegas dan putus seperti persis orang menyaksikan sendiri sesuatu peristiwa dan dia tidak teragak-agak untuk membenarkannya begitulah halnya dengan hadis mutawatir. Oleh kerana itu seluruh hadis mutawatir diterima dan tidak perlu lagi mengkaji keadaan perawinya.
Bahagiannya:
Mutawatir terbahagi kepada dua:
1. Al-Mutawatir Al-Lafzi iaitu hadis yang mutawatir pada lafaz dan maknanya seperti hadis:
من كذّب عليّ متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
“Sesiapa yang sengaja berdusta atas namaku maka hendaklah dia mempersiapkan tempatnya di dalam api neraka.”
Hadis ini telah diriwayatkan oleh lebih 70 orang sahabat.
2. Mutawatir Al-Ma’nawi iaitu hadis yang mutawatir pada makna tidak pada lafaz seperti hadis mengangkat dua tangan ketika berdoa. Ianya telah diriwayatkan oleh Rasulullah s.a.w. hampir atau lebih kurang seratus hadis. Setiap hadis menyebutkan baginda mengangkat tangan ketika berdoa cumanya dalam keadaan yang berbeza-beza. Dari segi keadaan ianya tidak mutawatir tetapi masing-masing menyebut mengangkat tangan ketika berdoa. Dengan itu ia menjadikan tawatur berdasarkan kepada keseluruhan atau gabungan jalan-jalan sanad.
Kewujudannya
Terdapat bilangan yang cukup banyak hadis mutawatir antaranya hadis tentang kolam,menyapu khauf, mengangkat dua tangan di dalam solat, hadis “semoga Allah menyinari seseorang yang mendengar hadis” dan banyak lagi.
Bagaimana pun kalau dibandingkan dengan hadis ahad, bilangan hadis mutawatir sangatlah sedikit.
Karya yang masyhur
Ulama memberi perhatian khusus dalam menghimpun hadis-hadis Mutawatir di dalam
karangan berasingan bagi memudahkan pelajar-pelajar membuat rujukan antaranya:
a) “Al-Azhar al-Mutanathirah Fi-al-akhbar al-Mutawatirah” karangan Imam al-Suyuti. Kitab ini disusun mengikut bab-bab.
b) “Qatf al-Azhar juga karangan al-Suyuti” yang merupakan ringkasan kitab yang pertama.
c) “Nazm al-Mutanathir Min al-Hadith al-Mutawatir” karangan Muhammad bin Ja’far al-Kattani.
atas
3.2 PERBAHASAN KEDUA: KHABAR AL-AHAD
Takrifnya:
Dari segi bahasa: al-Ahad adalah jamak bagi ahad yang bermaksud tunggal, khabar al-wahid pula ialah periwayatan seorang individu.
Manakala dari istilah ia memberi pengertian: Khabar yang tidak memenuhi syarat mutawatir.
Hukum:
Khabar ahad menghasilkan ilmu nazari iaitu ilmu yang bergantung kepada pengamatan dan pendalilan.
Bahagiannya berdasarkan kepada bilangan tariqnya:
a) Masyhur
b) Aziz
c) Gharib
3.2.1. Al-Masyhur
Takrif:
Dari segi bahasa: kata nama objek daripada syahartu al-amr iaitu saya menjadikan perkara itu terkenal apabila saya telah mengumumkan dan menyatakannya. Dinamakan hadis masyhur kerana penonjolannya.
Dari segi istilah: Hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang atau lebih pada setiap tabaqah tetapi tidak mencapai taraf mutawatir.
Contohnya:
إن الله لا يقبض العلم انتزاعا ينتزعه
“Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menarik ilmu dengan mencabutnya sekaligus.” (al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, Ibn Majah, Ahmad).
Hadith Mustafidh:
Dari segi bahasa: kata nama pelaku daripada perkataan istafadha yang berpunca daripada kalimah fadha al-ma` air telah melimpah. Dinamakan demikian kerana kemasyhurannya.
Dari segi istilah: terdapat perbezaan pendapat tentang takrifnya:
1. Mustafidh semakna dengan masyhur.
2. Mustafidh lebih khusus daripada masyhur kerana disyaratkan (bilangan perawi) sama antara permulaan dan akhir sanad, tetapi tidak disyaratkan pula pada hadis masyhur.
3. Mustafidh lebih umum daripada masyhur iaitu kebalikan bagi pendapat kedua.
Masyhur bukan istilah:
Iaitu hadis yang terkenal di kalangan orang ramai yang tidak mempunyai syarat-syarat atau memenuhi syarat yang diakui dan ia meliputi :
1. Hadis yang mempunyai satu sanad
2. Hadis yang mempunyai lebih daripada satu sanad
3. Hadis yang tidak mempunyai sanad sama sekali
Bentuk-bentuk hadis masyhur bukan istilah:
Ianya mempunyai banyak bentuk, antaranya
1. Masyhur di kalangan Ahli Hadis sahaja seperti hadis Anas:
أن رسول الله صلى عليه وسلم قنت شهرا بعد الركوع يدعو على رعل وذكوان
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berqunut selama sebulan setelah ruku’ mendoakan keburukan ke atas Ri’l dan Zakwan.”
(Bukhari dan Muslim)
2. Masyhur di kalangan Ahli Hadis, ulama dan orang awam, contohnya;
المسلم من سلم المسلمون من لسانه ويده
“Orang Islam itu ialah orang-orang Islam terselamat daripada gangguan ucapan dan perbuatannya.”
(Bukhari Muslim)
4. Masyhur di kalangan fuqaha seperti hadis:
أنغض الحلال إلى الله الطلاق
“ Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. ialah perceraian.”
5. Masyhur di kalangan ulama usul seperti hadis:
رفع عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه
“Tersilap, lupa dan dipaksa telah diangkat dari ummatku, iaitu tidak dikira berdosa.”
6. Masyhur dikalangan ahli-ahli Nahu: seperti hadis:
نعم العبد صهيب. لو لم يخف الله لم يعصه
“Sebaik-baik hamba ialah Suhaib. Kalau dia tidak takutkan Allah dia tidak akan berbuat maksiat terhadapNya.” (hadis tidak ada sumber)
7. Masyhur di kalangan masyarakat. Seperti hadis
العجلة من الشيطان
“Kegopohan itu daripada syaitan.” Dihukum oleh al-Tirmizi sebagai hasan.
Hukum Masyhur:
Hadis masyhur menurut istilah dan bukan istilah tidak dikatakan sebagai sahih atau tidak sahih, kerana antaranya ada yang sahih, hasan, daif bahkan terdapat juga maudu’. Bagaimanapun jika hadis masyhur menurut istilah itu sahih maka ia mempunyai keistimewaan yang mengatasi hadis aziz dan gharib.
Karangan-karangan yang terkenal:
Yang dimaksudkan dengan karangan tentang hadis masyhur ialah hadis-hadis masyhur di kalangan orang ramai bukan masyhur dari segi istilah. Antara karangan-karangan tersebut ialah:
1. “al-Maqasid al-Hasanah fima Isytahara `ala al-ulsinah” karangan Al-Sakhawi.
2. “Kasyt al-Khifa’ wa muzil al-Ilbas fima Isytahara `ala alsinah al-Nas” karangan al’-ajluni.
3. “Tamyiz al-Tayyib min al-khabith fima yaduru `ala alsinah al-Nas min al-hadith” hasil tulisan Ibn al-Dayban al-Syaibani.
atas
3.2.2 Al-Aziz
Definisi dari segi bahasa: sifat musyabbahah daripada ‘azza ya’izzu iaitu sedikit dan jarang atau daripada ‘azzaya’azzu kuat dan bersangatan. Dinamakan demikian sama ada kewujudannya yang sedikit dan jarang ataupun kerana kekuatannya kerana ia datang dari tariq (sanad) yang lain.
Dari segi istilah: hadis yang bilangan perawi-perawinya tidak kurang daripada dua orang di kesemua peringkat sanad
Huraian takrif:
Iaitu perawi-perawinya tidak kurang dari dua orang pada setiap tabaqat sanad. Sekiranya didapati pada sesetengah sanad tiga orang atau lebih itu tidak menjadi hal (tidak mengapa) dengan syarat ada dua orang perawi walaupun pada satu peringkat kerana yang diambil kira ialah had minimum mana-mana peringkat sanad.
Definisi ini merupakan definisi yang terpilih sebagai mana yang diputuskan oleh Hafiz Ibnu Hajar. Sebahagian ulama berpendapat Hadis al-‘aziz ialah periwayatan dua orang atau tiga orang. Dengan itu mereka tidak mengasingkan hadis aziz daripada hadis masyhur dalam beberapa bentuk.
Contohnya:
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Anas dan Imam Bukhari daripada hadis Abi Hurairah bahawa Rasululah s.a.w bersabda:
لايؤمن أحدكم حتى أكون أحبّ إليه من والده والناس أجمعين
“Tidak sempurna iman seseorang dari kalangan kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada bapanya, anaknya dan sekalian manusia.”
Hadis ini telah diriwayatkan daripada Anas oleh Qatadah, Abdul Aziz bin Suhaib dan diriwayatkan daripada Qatadah oleh Syu’bah dan Said dan diriwayatkan pula daripada Abdul Aziz oleh Ismail bin Ulaiyyah dan Abdul Warith. Dan diriwayatkan daripada setiap mereka itu oleh sebilangan yang ramai.
Karangan yang terkenal:
Ulama tidak menulis karangan yang khusus berhubung dangan hadis aziz. Yang jelasnya ialah kerana bilangannya yang sedikit dan kerana tidak didapati faedah yang penting daripada penulisan itu.
3.2.3 Hadis Gharib
1) Definisi dari sudut bahasa: sifat musyabbahah dengan erti yang bertunggalan atau yang berjauhan dari sanak saudara.
Dari segi Istilah : Hadis yang seorang perawi berseorangan dalam meriwayatkannya
2) Huraian definisi:
Iaitu hadis yang seorang perawi berseorangan meriwayatkannya sama ada pada setiap tabaqat sanad atau pada sebahagiannya walaupun pada satu tabaqat sahaja. Takrif gharib tidak terjejas dengan adanya lebih daripada seorang perawi pada tabaqat-tabaqat yang lain kerana yang diambil kira ialah had minimum.
3) Nama lain bagi hadis gharib:
Ramai dari kalangan ulama menyebut hadis gharib dengan nama lain iaitu al-fard sebagai semakna.Tetapi sebahagian ulama membezakan antara kedua-duanya. Dengan itu mereka menjadikan kedua-duanya sebagai bentuk yang berasingan. Akan tetapi Al-Hafiz Ibnu Hajar menganggapnya semakna dari segi bahasa dan istilah. Bagaimanapun beliau berkata: Ulama Mustalah hadis membezakan antara keduanya dari sudut banyak dan kurang pengunaannya. Mereka lebih banyak menyebut al-fard sebagai al-fard al-mutlaq dan al-gahrib pula sebagai al-fard al-nisbi.
4) Bahagian–bahagiannya
Berdasarkan tempat berlaku berseorangan, gharib dibahagikan kepada dua iaitu gharib mutlak dan gharib nisbi.
a. Al-gharib al-mutlak atau al-fard al-mutlaq takrifnya: hadis yang gharabah berlaku pada asal sanad iaitu hadis yang seorang perawi berseorangan meriwayatkan pada asal sanad. Contohnya Hadis:
إنما الأعمال بالنيات
“ٍٍSesungguhnya amalan itu berdasarkan niat”
Sayyidina Umar bin Al-Khatab berseorangan meriwayatkannya (tafarrada) dan ini kadang kala berterusan sehingga akhir sanad dan kadang-kadang sebilangan perawi meriwayatkan daripada perawi-perawi yang berseorangan itu (al-Mutafarrid)
b. Al-gharib al-nisbi
Takrifnya: hadis yang gharabah berlaku pada pertengahan sanad iaitu lebih daripada seorang perawi yang meriwayatkan pada asal sanad kemudiannya seorang perawi berseorangan meriwayatkannya daripada perawi-perawi itu. Contohnya Hadis Malik daripada al-Zuhri daripada Anas r.a bahawa:
أن النبي صلى الله عليه وسلم دخل مكة وعلى رأسه المغفر
Rasululah s.a.w memasuki Mekah dalam keadaan memakai mighfar (tudung).
Malik telah berseorangan meriwayatkannya daripada al-Zuhri sebab itu dinamakan gharib nisbi. Sebab dinamakan bahagian ini gharib nisbi ialah kerana tafarrud berlaku dengan nisbah kepada individu tertentu.
Antara bentuk hadis gharib nisbi ialah: Terdapat beberapa bentuk gharabah atau tafarrud yang boleh dikira sebagai gharaib nisbi kerana gharabah padanya tidak mutlak. Gharabah padanya wujud secara nisbah atau merujuk kepada sesuatu yang tertentu.
Bentuk-bentuk itu ialah :
I. Tafarrud thiqah dengan periwayatan hadis seperti kata-kata ulama hadis: Tidak seorang pun thiqah yang meriwayatkannya kecuali si fulan.
II. Tafarrud perawi tertentu daripada perawi tertentu: Seperti kata ulama hadis : “Perawi itu berseorangan meriwayatkan daripada si fulan. Walaupun diriwayatkan dengan sanad atau dengan jalan yang lain melalui perawi yang lain.
III. Tafarrud penduduk negeri seperti kata ulama hadis iaitu diriwayatkan oleh ahli Mekah atau ahli Syam.
IV. Tafarrud penduduk sebelah negeri daripada penduduk negeri lain seperti kata mereka: Tafarrud penduduk Basrah daripada penduduk Madinah atau tafarrud dalam meriwayatkan hadis ini penduduk Syam daripada penduduk Hijaz.
Pembahagian lain:
Dari segi Gharabah sanad dan matan, Ulama hadis membahagikan gharib kepada:
1. Gharib matan dan sanad.
Iaitu hadis yang seorang perawi berseorangan meriwayatkan matannya.
2. Gharib sanad tidak matan
Seperti hadis yang matannya diriwayatkan oleh sekumpulan perawi daripada kalangan sahabat kemudian seorang perawi berseorangan meriwayatkan daripada sahabat yang lain berkenaan dengan hadis ini Imam al-Tirmizi menyebut “gharib min haza al-wajh” gahrib dari wajah ini atau jalan ini,
Karya-karya yang terdapat banyak hadis gharib :
- Musnad al-Bazzar
- Al-Mu’jam al-Awsat - oleh al-Tabarani
Karya -karya yang terkenal:
1. “Gharaib Malik” karangan al-Daruqutni
2. “Al-Afrad” juga oleh al-Darulqutni
3. “Al-Sunan allati Tafarrada bikulli Sunnah minha ahlu baldah” oleh Abu Daud al-Sajistani.
3.2 FASAL KEDUA : KLASIFIKASI KHABAR AHAD BERDASARKAN KEPADA KEKUATAN DAN KELEMAHANNYA
Hadis ahad yang terdiri daripada masyhur, aziz dan gharib terbahagi kepada dua :
1. Maqbul iaitu hadis yang kebenaran penceritanya lebih kuat atau lebih mengatasi. Hukumnya, wajib berhujah dan beramal dengannya.
2. Mardud – iaitu hadis yang kebenaran penceritanya tidak kuat. Hukumnya ialah tidak boleh berhujah dengannya dan tidak wajib beramal dengannya. Setiap hadis maqbul dan mardud itu mempunyai pembahagian dan perincian yang akan disebutkan pada fasal yang berasingan. Insya Allah Taala.
3.2.1 Al-Khabar al-Maqbul
Perbahasan pertama: Pembahagian al-maqbul
Perbahasan kedua: Pembahagian al-hadis al-maqbul kepada ma’mul bih (yang boleh beramal) dan ghair ma’mul bih (yang tidak boleh beramal).
3.2.1.1 Perbahasan pertama
Pembahagian maqbul
Berdasarkan kepada tingkatan martabatnya, hadis maqbul terbahagi kepada dua bahagian utama: sahih dan hasan. Setiap bahagian ini pula terbahagi kepada dua iaitu lizatih dan lighairih. Ini menjadikan hadis maqbul empat bahagian.
1. Sahih Lizatih
2. Hasan Lizatih
3. Sahih Lighairih
4. Hasan Lighairih
atas
Al-Sahih
Definisi
Dari sudut bahasa sahih adalah lawan kepada saqim (sakit) iaitu penggunaan sebenarnya pada perkara konkrit dan penggunaan secara majaz (pinjaman) kepada hadis dan perkara abstrak.
Manakala dari segi istilah: Hadis yang bersambung sanadnya dengan nukilan perawi yang adil, dhabit daripada perawi sepertinya hingga ke hujung sanad tanpa ada syaz dan ``llah.
Huraian takrif:
Definisi di atas mempunyai beberapa perkara yang wajib ada bagi menjadikan hadis itu sebagai sahih iaitu:
a) Bersambung sanad
Setiap perawi mengambil riwayat secara langsung dari orang sebelumnya dari awal sanad sehingga ke penghujungnya.
b) Keadilan para perawi
Setiap perawi mestilah mempunyai sifat muslim, baligh, tidak fasiq dan tidak cacat maruah.
c) Ketepatan para perawi
Setiap perawi mestilah sempurna ketepatan, sama ada dari segi ingatan atau catatan.
d) Tidak syaz
Hadis tersebut tidak bersifat syaz. Maksud syaz ialah percanggahan perawi thiqah terhadap perawi yang lebih thiqah daripadanya.
e) Tidak mempunyai `llah
Hadis itu mestilah tidak terdapat `llah. `llah adalah satu sebab yang rumit dan tersembunyi yang mencacatkan kesahihan hadis walaupun pada zahirnya tidak kelihatan.
Syarat-syarat hadis sahih:
Jelas daripada huraian takrif tadi, terdapat lima syarat yang wajib dipenuhi supaya sesebuah hadis dikira sebagai hadis sahih. Iaitu bersambung sanad, keadilan perawi, ketepatan perawi, tidak ada `llah dan tidak ada syaz.
Apabila tidak cukup salah satu syarat ini, pada ketika itu hadis itu tidak dinamakan sahih.
Contohnya ;
Hadis yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab sahihnya:
قال حدثنا عبد الله بن يوسف قال أخبرنا مالك عن ابن شهاب عن محمد بن جبير بن مطعم عن أبيه قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم قرأ في المغرب بالطور
Imam Al-Bukhari berkata : “Abdullah bin Yusuf telah menceritakan kepada kami bahawa Malik telah mengkhabarkan kepada kami daripada Ibn Shihab daripada Muhammad Bin Jubir daripada Mu’tim daripada ayahnya katanya: saya telah mendengar Rasulullah SAW telah membaca Surah Al-Tur di dalam solat Maghrib.”
( Sahih al-Bukhari: Kitab al-Azan )
Hadis ini sahih kerana :
- Sanadnya bersambung (Muttasil) kerana setiap perawi mendengar daripada gurunya, tentang periwayatan secara ‘an’anah[1] oleh Malik, Ibn Shihab dan Ibn Jubair ditafsirkan sebagai bersambung-sambung kerana mereka bukanlah perawi-perawi yang melakukan tadlis[2].
- Perawi-perawinya adil dan dhabit, berikut ini sifat-sifat mereka di sisi ulama al-Jarh Wal Ta’dil:
1. Abdullah bin Yusuf: thiqah, mutqin.
2. Malik bin Anas: imam, hafiz
3. Ibn Syihab al-Zuhri: faqih, hafiz kehebatan dan keteguhannya disepakati semua.
4. Muhammad bin Jubair: thiqah.
5. Jubair bin Mut`im: seorang sahabat.
- hadis ini tidak syaz kerana tidak bercanggah dengan yang lebih kuat daripadanya.
- Kerana ia tidak mempunyai sebarang `llah.
Hukumnya
Wajib beramal dengan hadis sahih berdasarkan kepada ijma ahli hadis ulama yang diakui pendapat mereka dari kalangan usuliyyin dan fuqaha. Ia merupakan salah satu hujah syara` yang tidak ada ruang bagi seorang muslim untuk tidak beramal dengannya.
Maksud kata-kata: “Ini hadis sahih atau ini hadis tidak sahih”:
1. Maksud kata-kata ulama hadis: “hadis ini sahih” ialah lima syarat hadis sahih ada padanya. Bukan diputuskan hadis itu benar-benar sahih kerana harus berlaku kesilapan dan lupa kepada perawi yang thiqah.
2. Maksud kata-kata mereka: hadis ini tidak sahih ialah hadis ini tidak memenuhi lima syarat hadis sahih, sama ada kesemuanya atau sebahagian daripadanya bukan bermaksud pada kenyataannya ia adalah satu pendustaan kerana orang yang biasa melakukan kesilapan boleh jadi betul pada ketika yang lain.
Adakah diputuskan mana-mana sanad sebagai sanad yang paling sahih secara mutlak?
Mengikut pendapat terpilih, tidak boleh diputuskan mana-mana sanad sebagai sanad yang paling sahih secara mutlak kerana perbezaan tingkatan kesahihan berdasarkan kepada kemampuan sanad untuk memenuhi syarat sahih. Hadis yang memenuhi keperluan maksimun kesemua syarat sahih adalah sangat jarang. Sepatutnya tidak dihukumkan kepada mana-mana sanad sebagai sanad yang paling sahih secara mutlak. Bagaimanapun, ada dinukilkan daripada beberapa orang imam tentang sanad yang paling sahih. Yang nyata, setiap imam memilih sanad yang kuat menurut penilaian mereka. Antara pendapat tentang sanad yang paling sahih ialah:
1. al-Zuhri daripada Salim daripada bapanya (Abdullah Ibn `Umar). Ini diriwayatkan daripada Ishaq bin Rahawaih dan Ahmad.
2. ibn Sirin daripada `Abidah daripada Ali bin Abi Talib. Ini diriwayatkan daripada Ibn al-Madini dan al-Fallas.
3. al-A`masy daripada Ibrahim daripada `Alqamah daripada Abdullah bin Mas`ud. Ini diriwayatkan daripada Ibn Ma`in.
4. al-Zuhri daripada Ali bin al-Husain daripada bapanya daripada `Ali. Ini diriwayatkan daripada Abu Bakar bin Abi Syaibah.
5. Malik daripada Nafi` daripada Ibn `Umar. Ini diriwayatkan daripada al-Bukhari.
atas
Karangan Pertama Yang Khusus Tentang Hadis Sahih
Karangan pertama tentang hadis sahih sahaja ialah Sahih al-Bukhari kemudian Sahih Muslim. Kedua-duanya adalah kitab yang paling sahih selepas al-Qur’an. Ummat Islam telah berijmak dalam menerima kedua-duanya.
i. Kitab yang paling sahih di antara keduanya ialah Sahih al-Bukhari dan ia lebih mengandungi banyak faedah. Ini kerana hadis-hadis al-Bukhari lebih kemas dari segi bersambung-sambung sanadnya dan para perawinya lebih thiqah di samping terdapat kesimpulan-kesimpulan fiqh dan masalah-masalah ilmiah yang tidak ada dalam Sahih Muslim. Kedudukan Sahih al-Bukhari lebih sahih dari Sahih Muslim dengan mengambil kira keseluruhan, kerana ada terdapat sebahagian hadis dalam Sahih Muslim lebih kuat daripada beberapa hadis dalam Sahih al-Bukhari. Ada juga pendapat yang mengatakan Sahih Muslim lebih sahih, tetapi yang lebih tepat ialah pendapat yang pertama (Sahih al-Bukhari lebih sahih.)
ii. Adakah al-Bukhari dan Muslim beriltizam untuk memasukkan semua hadis sahih dalam kitab-kitab mereka?
al-Bukhari dan Muslim tidak beriltizam untuk memasukkan semua hadis sahih dalam kitab-kitab mereka. Al-Bukhari berkata: “Saya hanya memasukkan hadis yang sahih sahaja dalam kitabku yang jami[3]` ini dan saya tinggalkan hadis-hadis sahih yang lain kerana takut panjang.” Muslim berkata: “Bukan semua hadis yang sahih menurut saya, saya masukkan di sini, sahih yang disepakati sahaja yang saya masukkan.”
iii. Adakah banyak atau sedikit hadis yang sahih yang tidak dimasukkan oleh mereka berdua?
1. Al-Hafiz Ibn al-Akhram berkata: “Hanya sebilangan yang kecil sahaja yang tidak dimasukkan oleh mereka berdua.” Pendapat ini telah dibantah.
2. Mengikut pendapat yang sahih, banyak hadis yang sahih yang tidak disebutkan oleh mereka berdua. Dinukilkan daripada al-Bukhari katanya: “Hadis-hadis sahih yang saya tinggalkan lebih banyak.” Beliau juga berkata: “Saya menghafal seratus ribu hadis sahih dan dua ratus ribu hadis yang tidak sahih.”
iv. Berapakah jumlah hadis di dalam kedua-dua sahih itu?
Sahih al-Bukhari mengandungi 7275 hadis termasuk hadis yang berulang dan dengan yang tidak berulang sebanyak 4000 hadis.
Jumalah hadis dalam Sahih Muslim ialah 12000 termasuk yang berulang dan tanpa berulang sebanyak 4000 hadis.
v. Di mana boleh didapati hadis-hadis sahih lain yang ditinggalkan oleh Bukhari dan Muslim?
Kita boleh dapatinya di dalam kitab-kitab muktabar yang masyhur seperti Sahih Ibn Khuzaimah, Sahih Ibn Hibban, Mustadrak al-Hakim, kitab sunan yang empat, Sunan al-Daruqutni, Sunan al-Baihaqi dan lain-lain. Perlu diingatkan bahawa kewujudan sesebuah hadis di dalam kitab-kitab tidak bermakna ia pasti sahih tetapi memerlukan kepada penjelasan tentang kesahihannya kecuali di dalam kitab yang pengarangnya mensyaratkan hanya menyebutkan hadis sahih sahaja seperti Sahih Ibn Khuzaimah.
vi. Perbincangan tentang:
Al-Mustadrak karangan al-Hakim, antara kitab hadis yang besar. Penulisnya menyebutkan hadis-hadis sahih yang mengikut syarat al-Syaikhan (al-Bukhari dan Muslim) atau syarat salah seorang mereka tetapi tidak dikeluarkan oleh mereka berdua. Begitu juga pengarangnya menyebutkan hadis-hadis sahih menurut penilaiannya walaupun tidak menurut penilaian mereka berdua dengan mengatakannya sebagai sahih sanadnya. Kadang-kadang beliau menyebutkan beberapa hadis yang tidak sahih tetapi beliau mengingatkan tentang statusnya. Beliau seorang yang longgar dalam mentashihkan hadis. Hadis-hadisnya perlu disemak dan dinilai sesuai dengan keadaannya dan Al-Zahabi menilai semula status kebanyakan hadis-hadis Mustadrak sesuai dengan kedudukannya. Bagaimanapun, kitab ini masih memerlukan kepada penyemakkan, penilaian dan pemerhatian lebih lanjut lagi.
Sahih Ibn HIbban: Susunan kitab ini agak kreatif kerana ia tidak disusun mengikut susunan bab dan tidak juga mengikut tertib musnad. Oleh kerana itu, pengarangnya menamakan al-Taqasim wa al-Anwa`. Disebabkan terdapat kesukaran dalam mencari hadis dari kitab ini, sebahagian ulama kemudian menyusunnya mengikut bab. Pengarangnya adalah seorang yang bermudah dalam menghukumkan hadis dan sikap bermudah beliau adalah lebih rendah dari al-Hakim.
Sahih Ibn Khuzaimah: Kedudukannya lebih tinggi dari Sahih Ibn Hibban kerana beliau lebih teliti berbanding Ibn Hibban sehingga beliau menahan diri dari menghukumkan hadis walaupun hanya terdapat sedikit kritikan pada sanad.
vii. Al-Mustakhrajat `ala al-Sahihain
1) Topik mustakhraj: iaitu seorang pengarang mendapatkan mana-mana kitab hadis lalu mengeluarkan hadis-hadis tersebut melalui sanad-sanadnya sendiri bukan tariq atau jalan pengarang kitab tersebut. Dengan ini, beliau akan bertemu dengan pengarang pada peringkat gurunya atau atas lagi.
2) Mustakhraj terhadap al-Sahihain yang paling masyhur:
o Al-Mustakhraj karangan Abu Bakar al-Isma`ili terhadap Sahih al-Bukhari.
o Al-Mustakhraj karangan Abu `Awanah al-Isfiraini terhadap Sahih Muslim.
o Al-Mustakhraj karangan Abu Nu`iam al-Asfahani terhadap Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.
3) Adakah pengarang-pengarang Mustakhraj beriltizam untuk sama lafaz dengan al-Sahihain?
Pengarang-pengarang Mustakhraj tidak beriltizam untuk mengemukakan lafaz yang sama dengan al-Sahihain kerana mereka hanya meriwayatkan lafaz-lafaz yang sampai kepada mereka melalui jalan guru-guru mereka. Oleh kerana itu terdapat sedikit perbezaan lafaz-lafaz hadis dalam mustakhrajat. Begitu juga halnya dengan hadis-hadis yang dikeluarkan oleh pengarang-pengarang terdahulu di dalam kitab mereka yang berasingan seperti al-Baihaqi, al-Baghawi dan lain-lain seperti kata-kata mereka: diriwayatkan oleh al-Bukhari atau diriwayatkan oleh Muslim. Pada sebahagiannya terdapat perbezaan dari segi lafaz dan makna. Maksud kata-kata mereka: “diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim” ialah mereka berdua meriwayatkan hadis tersebut pada asalnya.
4) Adakah harus menukilkan satu hadis daripada kitab mustakhraj lalu menyandarkan kepada al-Bukhari dan Muslim?
Berdasarkan kepada perbahasan lalu, tidak harus bagi seseorang untuk menukilkan daripada kitab mustakhrajat atau mana-mana kitab yang disebutkan sebelum ini lalu dia berkata diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim kecuali dengan salah satu cara ini: pertama, dia mestilah membandingkan hadis itu dengan riwayat al-Bukhari dan Muslim atau pengarang mustakharaj berkata atau pengarang kitab berkata; dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim dengan lafaznya.
5) Faedah-faedah mustakhrajat terhadap al-Sahihain
Mustakhrajat terhadap al-Sahihain mempunyai beberapa faedah sehingga menjangkau sepuluh, sebagaiman yang disebutkan oleh al-Suyuti di dalam Tadrib al-Rawi. Di sini penulis bawakan untuk anda beberapa faedah terpenting. Pertama, ketinggian sanad iaitu sanad menjadi tinggi kerana jika pengarang mustakhraj meriwayatkan satu hadis melalui jalan al-Bukhari pasti sanad akan menjadi lebih rendah daripada hadis yang diriwayatkannya di dalam mustakhraj. Kedua, menambah kadar kesahihan kerana berlaku pertambahan lafaz dan kelengkapan pada sebahagian hadis. Ketiga, hadis menjadi lebih kuat dengan sebab bertambah jalannya dan faedahnya ialah tarjih ketika berlaku percanggahan.
Riwayat Al-Bukhari Dan Muslim Yang Manakah Dihukumkan Sebagai Sahih?
Kita telahpun mengetahui bahwa al-Bukhari dan Muslim tidak memasukkan di dalam kitab sahih mereka kecuali apa yang sahih dan ummat Islam menerima dengan baik kitab mereka berdua. Hadis-hadis manakah yang dihukumkan sahih dan diterima oleh ummat?
Jawapannya ialah hadis yang diriwayatkan dengan sanad yang bersambung itulah yang dihukumkan sebagai sahih. Tentang hadis yang digugurkan permulaan sanad seorang perawi atau lebih-yang dinamakan dengan al-mu`allaq- yang banyak terdapat di dalam Sahih al-Bukhari iaitu di dalam tajuk bab (tarjamtul bab), namun tidak ada sama sekali di tengah-tengah bab. Di dalam Sahih Muslim hanya ada sebuah hadis dalam bab al-Tayammum yang tidak diriwayatkan secara mausul (bersambung) di tempat yang lain. Hukum hadis-hadis tersebut ialah:
1) Jika sesuatu hadis dengan lafaz yang pasti seperti ‘berkata’, ‘menyuruh’, ‘menyebut’ maka ia dihukumkan sebagai sahih daripada orang yang disandarkan kepadanya hadis itu.
2) Jika hadis itu dengan lafaz yang tidak pasti seperti ‘diriwayatkan daripada’, ‘disebutkan’, ‘diceritakan’, ‘telah diriwayatkan’, ‘telah disebutkan’, maka ia tidak hukumkan sebagai sahih. Bagaimanapun di dalamSahih al-Bukhari ini, tidak ada satu hadis yang sangat daif untuk dimasukkan ke dalam kitab yang dinamakan dengan kitab sahih.[4]
Tingkatan Hadis Sahih
Kita telah maklum bahawa [1]ulama menyebutkan beberapa sanad yang paling sahih menurut pendapat mereka. Berdasarkan kepada ini dan juga kepada kemampuan memenuhi syarat-syarat sahih yang lain, hadis sahih itu mempunyai beberapa tingkatan.
1. Tingkatan paling tinggi iaitu yang diriwayatkan dengan sanad yang paling sahih seperti Malik daripada Nafi` daripada Ibn Umar.
2. Sanad yang rendah sedikit iaitu yang diriwayatkan melalui jalan perawi-perawi yang rendah daripada perawi-perawi sanad yang pertama seperti riwayat Hammad bin Salamah daripada Thabit daripada Anas.
3. Sanad yang rendah sedikit iaitu riwayat perawi-perawi yang mempunyai sifat thiqah yang paling kurang seperti riwayat Suhail bin Abi Salih daripada bapanya daripada Abu Hurairah.
Boleh dimasukkan dengan perincian ini ialah pembahagian hadis sahih kepada tujuh tingkatan iaitu:
1. Hadis yang disepakati oleh al-Bukhari dan Muslim ( tingkatan tertinggi)
2. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari sahaja.
3. Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim sahaja.
4. Hadis yang mengikut syarat mereka berdua tetapi tidak dikeluarkan oleh mereka berdua.
5. Hadis yang mengikut syarat al-Bukhari tetapi tidak dikeluarkannya.
6. Hadis yang mengikut syarat Muslim tetapi tidak dikeluarkannya.
7. Hadis sahih yang tidak mengikut syarat mereka berdua tetapi sahih di sisi imam-imam selain mereka berdua seperti Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban.
Syarat al-Syaikhain
Al-Bukhari dan Muslim tidak menjelaskan syarat yang mereka tentukan sebagai tambahan kepada syarat-syarat yang disepakati pada hadis sahih. Tetapi ulama yang mengkaji gaya dan metode penulisan al-Bukhari dan Muslim dapat mengesani apa yang dikatakan sebagai syarat mereka berdua atau salah seorang mereka berdua.
Pandangan yang paling baik tentang syarat al-Bukhari dan Muslim atau salah seorang mereka ialah hadis itu diriwayatkan oleh perawi-perawi kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim atau salah seorang dari mereka dengan mengambil kira cara periwayatan yang mereka berdua beriltizam dengannya.
Maksud Muttafaq `alaih
Apabila ulama hadis menyebutkan hadis sebagai muttafaq `alaih maksudnya ialah persepakatan al-Bukhari dan Muslim tentang kesahihannya bukan persepakatan umat Islam. Sebaliknya Ibn al-Salah berpendapat kesepakatan ulama adalah mesti dan ada bersamanya kerana kesepakatan ummat menerima kesepakatan mereka berdua.
Adakah Hadis Sahih Disyaratkan Sebagai Aziz
Mengikut pendapat yang sahih, hadis sahih itu tidak disyaratkan menjadi aziz dengan erti ia mestilah mempunyai dua sanad kerana ada didapati di dalam Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan kitab-kitab lain hadis-hadis yang sahih tetapi gharib. Beberapa ulama seperti Abu Ali al-Jubba’i al-Mu`tazili dan al-Hakim mendakwa hadis sahih mestilah aziz. Pendapat mereka ini bertentangan dengan apa yang telah dipersetujui oleh umat Islam.
________________________________________
[1] Periwayatan hadis dengan menggunakan lafaz عن yang boleh membawa dua andaian, sama ada perawi itu mendengar secara langsung daripada gurunya atau melalui perantaraan perawi yang lain.
[2] Menyembunyikan perawi atau kecatan yang ada pada sanad dengan cara yang mengelirukan.
[3] Kumpulan hadis yang disusun merangkumi semua bab termasuk aqidah, fiqh, manaqib, perubatan dan lain-lain.
[4] Tetapi jika diteliti terdapat beberapa hadis yang daif kerana mempunyai `illah dan bercanggah dengan hadis-hadis di dalam kitab Sahih al-Bukhari sendiri. (Penterjemah)
AL-HASAN
Definisi:
Dari segi bahasa ia adalah sifat musyabbahah daripada al-husn yang bererti keindahan.
Dari segi istilah pula ulama berbeza pendapat dalam memberikan definisi hadis hasan memandangkan ia berada di tengah-tengah antara sahih dan dha`if. Sebahagian ulama mendefinisikan salah satu bahagiannya sahaja. Bagaimanapun penulis akan menyebutkan sebahagian daripada definisi-definisi tersebut dan akan memilih definisi yang dirasakan paling tepat.
1. Definisi al-Khattabi: Hadis yang diketahui puncanya dan perawi-perawinya masyhur lagi dikenali. Kebanyakan hadis tergolong dalam hadis hasan dan ia diterima oleh kebanyakan ulama dan diamalkan oleh kesemua fuqaha’.[1]
2. Definisi al-Tirmizi: Setiap hadis yang diriwayatkan tanpa ada di dalam sanadnya perawi yang dituduh berdusta, hadis tidak syazz, diriwayatkan dengan jalan yang lain seperti itu juga, maka itu menurut kami adalah hadis hasan.[2]
3. Definisi Ibn Hajar: Khabar (hadis) ahad dengan nukilan perawi adil, sempurna ketepatan, bersambung sanad tanpa ada ```llah dan syazz, maka itu adalah sahih lizatih. Sekiranya ketepatannya kurang, maka ia adalah hasan lizatih.[3]
Penulis berpendapat, seolah-olah, hadis hasan menurut Ibn Hajar adalah hadis sahih apabila ketepatan perawinya rendah dan ini adalah definisi hadis hasan yang paling baik. Sementara definisi al-Khattabi, terlalu banyak kritikan kepadanya. Manakala definisi al-Tirmizi, beliau hanya mendefinisikan salah satu bahagian hadis hasan sahaja iaitu hasan lighairih. Sepatutnya beliau memberikan takrif hasan lizatihi kerana hasan lighairih adalah hadis dha`if yang meningkat ke darjah hasan kerana ditampung oleh banyak sanad.
Definisi terpilih
Berdasarkan kepada definisi Ibn Hajar, hadis hasan bolehlah didefinisikan sebagai: “Hadis yang bersambung sanadnya dengan nukilan perawi yang adil tetapi rendah ketepatannya daripada perawi sepertinya sehingga ke hujung sanad tanpa sebarang syazz dan ```illah.”
Hukumnya
Ia seperti hadis sahih dari segi boleh untuk dijadiakan hujah walaupun dari segi kekuatan ia lebih rendah. Oleh kerana itu, semua fuqaha beramal dengannya. Kebanyakan ulama hadis dan ulama usul berhujah dengannya kecuali segelintir dari kalangan yang berpandangan keras. Bagaimanapun sebahagian ulama hadis yang bersikap mudah seperti al-Hakim, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah telah memasukkannya ke dalam bahagian sahih walaupun mereka berpendapat hadis hasan lebih rendah daripada hadis sahih seperti yang dijelaskan sebelum ini.[4]
Contohnya: Hadis yang dikeluarkan oleh al-Tirmizi:
حَدَّثَنَا قُتَيبةُ حَدَّثَنَا جعفرُ بنُ سليمانَ الضُّبعيُّ عن أبي عمرانَ الجونيُّ عن أبي بكرِ بنِ أبي موسى الأشعريِّ قال:
- سمعتُ أبي بحضرةِ العدوِّ يقول قال رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وسَلَّم: إنَّ أبوابَ الجنَّةِ تحتَ ظلالِ.
Kata beliau: “Qutaibah telah menceritakan kepada kami bahawa Ja`far bin Sulaiman al-Dhuba`i telah menceritakan daripada Abi `Imran al-Jauni daripada Abi Bakar bin Abi Musa al-`Asy`ari berkata: “Saya mendengar ayah saya berkata ketika berhadapan dengan musuh: “Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya pintu-pintu syurga berada di bawah naungan pedang-pedang.”[5]
Hadis ini dihukumkan oleh al-Tirmizi sebagai: “Ini adalah hadis hasan gharib”. Hadis ini hasan kerana perawi-perawi yang empat bagi sanad ini kesemua adalah thiqah kecuali Ja`far bin Sulaiman al-Dhuba`i. Beliau seorang hasanul hadis. Oleh kerana itu hadis ini jatuh dari martabat sahih kepada hasan.
Martabatnya
Sebagaimana hadis sahih mempunyai martabat yang berbeza antara satu sama lain, begitu juga dengan hadis hasan. Al-Zahabi telah membahagikan hadis hasan kepada dua martabat:
1. Martabat hasan yang paling tinggi: Riwayat Bahz bin Hakim daripada bapanya daripada datuknya, `Amr Ibn Syu`aib daripada bapanya daripada datuknya, riwayat Ibn Ishaq daripada al-Taimi dan yang seumpamanya yang dikatakan sebagai sahih. Martabat ini adalah martabat sahih yang paling rendah.
2. Martabat hasan yang rendah: Iaitu hasan yang dipertikaikan kedudukannya, ada yang mentashihkan dan ada yang mendaifkan seperti hadis al-Harith bin Abdullah, `Asim bin Dhamrah, Hajjaj bin Artah dan lain-lain.
Kedudukan hadis yang dihukumkan oleh ulama hadis sebagai “Hadis Sahih al-Isnad”
Kata-kata ulama hadis: “Ini hadis Sahih al-Isnad” tidak sama dengan kata-kata mereka: “Ini hadis sahih”. Begitu juga kata-kata mereka: “Ini hadis hasan al-Isnad” tidak sama dengan “Ini hadis hasan”. Kadang-kadang sanad itu sahih atau hasan tetapi tidak pada matan kerana ada syazz dan ``llah. Seolah-olah apabila ulama hadis mengatakan: “Ini hadis sahih”, beliau telah menjamin kepada kita bahawa hadis ini memenuhi kelima-lima syarat-syarat hadis sahih. Sekiranya beliau mengatakan: “Ini hadis sahih al-Isnad”, beliau menjamin adanya 3 syarat sahih sahaja iaitu bersambung sanad, keadilan dan ketepatan para perawi. Adapun penafian syazz dan ``llah, itu tidak diberi jaminan oleh beliau kerana ketidakpastian kedua-duanya itu.
Bagaimanpun jika seorang Hafiz yang diakui hanya menyebutkan hadis ini sahih al-Isnad tanpa menyebut ``llahnya, maka pada zahirnya, matan itu adalah sahih kerana kaedah asal ialah tidak ada ``llah dan tidak ada syazz.
Maksud kata-kata al-Tirmizi dan lain-lain: “Hadis Hasan Sahih”
Zahirnya, ungkapan ini mengelirukan, kerana hasan lebih rendah daripada darjah sahih. Bagaimana boleh dihimpunkan kedua-duanya sedangkan martabat kedua-duanya berbeza? Para ulama telah memberikan pelbagai jawapan kepada maksud ungkapan al-Tirmizi ini. Jawapan yang paling baik ialah yang dikemukakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dan dipersetujui oleh al-Suyuti, kesimpulannya seperti berikut:
1. Sekiranya hadis itu mempunyai dua sanad atau lebih, ungkapan itu bermaksud hasan berdasarkan satu sanad dan sahih berdasarkan kepada satu satu lagi.
2. Sekiranya hadis itu hanya mempunyai satu sanad, maksudnya ialah hasan menurut satu kumpulan ulama dan sahih menurut yang lain.
Seolah-olah beliau memberikan isyarat tentang perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang kedudukan hadis ini, atau baginya hadis ini tidak boleh ditentukan sama ada sahih atau hasan.
Klasifikasi al-Baghawi hadis-hadis Masabih al-Sunnah[6]
Al-Imam al-Baghawi telah menggunakan istilahnya yang tersendiri di dalam kitabnya, Masabih al-Sunnah. Beliau telah mengisyaratkan hadis-hadis yang terdapat di dalam dua kitab sahih atau salah satunya dengan kata-katanya: “sahih”
dan hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab sunan yang empat dengan kata-katanya: “hasan”. Ini adalah istilah yang tidak selari dengan istilah umum dipakai di kalangan ulama hadis kerana di dalam kitab-kitab sunan yang empat itu terdapat hadis sahih, hasan, dha`if dan munkar. Oleh kerana itu, Ibn al-Salah dan al-Nawawi memberi peringatan tentang perkara ini. Dengan itu, sepatutnya pembaca kitab Masabih al-Sunnah lebih peka dengan istilah al-Baghawi di dalam kitab ini apabila beliau menyebut tentang hadis-hadis sebagai sahih atau hasan.
Kitab-kitab yang boleh didapati hadis hasan dengan banyaknya
Para ulama tidak menulis secara berasingan hadis-hadis hasan di dalam satu kitab seperti mana mereka mengkhususkan hadis-hadis sahih sahaja dalam tulisan mereka. Namun begitu terdapat beberapa kitab hadis yang terdapat di dalamnya banyak hadis hasan, antara yang masyhur ialah:
1. Jami` al-Tirmizi atau yang lebih dikenali sebagai Sunan al-Tirmizi. Ia adalah sumber utama untuk mengetahui hadis hasan. Al-Tirmizilah yang memasyhurkan istilah hasan di dalam kitab ini dan orang yang paling banyak menyebutkannya. Bagaimanapun kita harus berhati-hati tentang edisi yang berbeza-beza berhubung dengan kata-kata beliau: “hasan sahih” dan sebagainya. Adalah menjadi tanggungjawab pelajar hadis memberi perhatian dalam memilih edisi yang telah dinilai dan membandingkan dengan manuskrip asal yang diakui.
2. Sunan Abi Daud: Beliau telah menyebutkan di dalam suratnya kepada penduduk Mekah bahawa beliau menyebutkan di dalam sunannya hadis sahih, hadis yang menyerupainya dan hadis yang hampir dengannya. Sekiranya hadis itu mempunyai kedha`ifan yang kuat, beliau akan menjelaskannya dan hadis yang tidak disebutkan apa-apa tentangnya maka itu adalah salih[7]. Berdasarkan kepada kenyataan ini, apabila kita mendapati di dalam sunan ini hadis yang beliau tidak menjelaskan kedha`ifannya dan tidak ditashihkan oleh mana-mana imam yang diakui maka itu adalah hadis hasan di sisi Abu Daud.
3. Sunan al-Daruqutni: Beliau menyebutkan dengan jelas kebanyakan hadis hasan di dalam kitab ini.
AL-SAHIH LIGHAIRIH
Definisi
Iaitu hadis hasan lizatih apabila diriwayatkan melalui jalan yang lain sepertinya atau lebih kuat darinya. Dinamakan sahih lighairih kerana kesahihan tidak datang dari sanad itu sendiri, tetapi hanya sahih apabila digabungkan dengan sanad lain.
Martabatnya
Lebih tinggi martabatnya dari hasan lizatih dan lebih rendah daripada sahih lizatih.
Contohnya
حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيبٍ، حَدَّثَنَا عَبْدَةُ بنُ سُلَيمانَ، عن مُحَمَّدِ بنِ عَمْروٍ، عن أَبي سَلَمَةَ، عن أَبي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلاَةٍ".
Hadis Muhammad bin `Amr daripada Abi Salamah daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Kalaulah tidak kerana menyusahkan ummatku pasti aku akan menyuruh mereka menggosok gigi setiap kali sembahyang.[8]
Ibn al-Salah berkata: “Muhammad bin `Amr bin `Alqamah adalah dari kalangan yang masyhur dengan benar dan menjaga diri cumanya beliau bukan dari ahli itqan sehingga sebahagian mereka mendhaifkannya kerana ingatannya buruk dan sebahagain mereka pula menthiqahkannya kerana benarnya dan kedudukannya. Dengan itu, dari sudut ini, hadith ini hasan. Apabila digabungkan dengan keadaannya diriwayatkan melalui tariq yang lain, kebimbangan kita tentang buruk hafalannya tidak ada lagi dan kekurangan yang sedikit itu tertampung dengan sebab tariq tersebut. Dengan sebab itu, sanad ini menjadi sahih dan tergolong di dalam martabat sahih.”[9]
AL-HASAN LI GHAIRIH
Iaitu hadis dhaif apabila mempunyai banyak tariq dan sebab kedhaifannya bukan kefasiqan dan pendustaan perawi.
Difahami daripada definisi ini, hadis dhaif boleh meningkat ke tahap hasan li ghairih dengan dua perkara:
1. Diriwayatkan daripada satu tariq lain atau lebih dengan syarat tariq tersebut sepertinya atau lebih kuat daripadanya.
2. Sebab kedhaifan hadis itu sama ada buruk hafalan, terputus pada sanad atau tidak diketahui tentang perawi-perawinya.
Martabatnya
Hasan li ghairih lebih rendah kedudukannya daripada hasan li zatih. Berdasarkan kepada kenyataan ini, sekiranya hadis hasan li zatihi bercanggah dengan hasan li ghairih, maka hasan li zatih didahulukan.
Hukumnya
Ia termasuk dalam hadis maqbul yang boleh berhujah dengannya.
Contohnya
Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan beliau mengatakannya hasan melalui tariq Syu`bah:
عن عاصمِ بنِ عبدِ اللهِ، قال: سمعتُ عبدَ اللهِ بن عامرِ بنِ ربيعةَ عن أبيهِ:
- أنَّ امرأةً من بَني فزارةَ تزوَّجتْ على نعلينِ، فقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عَليهِ وسلَّم: "أرضيتِ من نفسكِ ومالكِ بنعلينِ؟ قالت: نعمْ. قال: فأجازهُ".
وفي البَابِ: عن عمرَ وأبي هُرَيرَةَ وسهلِ بنِ سعدٍ وأبي سعيدٍ وأنسٍ وعَائِشَةَ وجابرٍ وأبي حدردٍ الأسلميِّ.
Daripada `Asim bin `Ubaidillah bin Abdullah bin `Amir bin Rabi`ah daripada bapanya
bahawa ada seorang wanita daripada Bani Fazarah berkahwin dengan mahar sepasang kasut. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah anda setuju untuk dirimu dan harta dengan sepasang kasut? Wanita itu menjawab: Ya. Lalu Rasulullah s.a.w. membenarkan.
Al-Tirmizi berkata: “Di dalam bab ini ada diriwayatkan juga daripada Umar, Abu Hurairah, `Aisyah dan Abi Hadrad.”
`Asim adalah seorang dhaif kerana hafalannya buruk, sedangkan al-Tirmizi menghukumkan hadis ini hasan kerana ia mempunyai lebih daripada satu jalan.
3.2.1.1.1 Khabar Ahad Maqbul Yang Mempunyai Sokongan
Pendahuluan
Di akhir perbahasan bahagian hadis maqbul, penulis akan menyentuh hadis maqbul yang mempunyai sokongan. Maksudnya ialah hadis yang mempunyai perkara-perkara tambahan selain daripada syarat-syarat yang diperlukan pada hadis maqbul.
Perkara-perkara tambahan yang ada pada sesuatu hadis maqbul akan menambahkan kekuatannya dan menjadikannya lebih istimewa daripada hadis-hadis maqbul yang lain yang tidak ada perkara-perkara tersebut di samping ia lebih diutamakan daripada yang lain.
Bahagian-bahagiannya
Hadis yang mempunyai sokongan ada beberapa bahagian, yang paling masyhur ialah:
Hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab sahih mereka yang tidak mencapai tahap mutawatir. Ianya disokong dengan:
1. Kedudukan mereka yang tinggi di dalam bidang ini.
2. Kedua-dua kitab ini terkedepan dalam membezakan hadis sahih berbanding dengan yang lain.
3. Para ulama menerima baik kitab-kitab mereka. Penerimaan ini sahaja cukup kuat dalam menghasilkan ilmu daripada semata-mata banyak tariq yang tidak mencapai tahap mutawatir.
4. Hadis masyhur yang mempunya tariq yang berbeza semuanya tidak ada kedhaifan perawi dan ``llah.
5. Hadis musalsal dengan para imam hafiz dan mempunyai sifat itqan yang tidak menjadi gharib. Seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Imam al-Syafi`i daripada Imam Malik. Selain daripada Imam Ahmad, ramai lagi meriwayat daripada Imam al-Syafi`i, begitu juga selain dari Imam al-Syafi`i, ramai perawi lain yang meriwayatkan daripada Imam Malik.
Hukumnya
Ia lebih kuat daripada mana-mana hadis ahad maqbul. Sekiranya hadis ahad yang memiliki sokongan, bercanggah dengan hadis-hadis maqbul lain, maka didahulukan hadis yang mempunyai sokongan itu.
3.2.1.2 PERBAHASAN KEDUA : KLASIFIKASI KHABAR MAQBUL KEPADA YANG DIAMALKAN DAN TIDAK BOLEH DIAMALKAN
Khabar maqbul terbahagi kepada dua: yang boleh diamalkan dan tidak boleh diamalkan. Terbit daripada pembahagian ini dua ilmu hadit iaitu al-Muhkam wa Muktalaf al-hadith dan al-Nasikh wa al-Mansukh.
AL-MUHKAM WA MUKTALIF AL-HADITH
Definisi al-Muhkam:
Dari segi bahasa ia adalah isim maf`ul daripada perkataan ahkama yang bererti atqana iaitu mengemaskan; mengukuhkan.
Dari segi istilah pula ia adalah hadis maqbul yang selamat daripada percanggahan dengan hadis sepertinya.
Kebanyakan hadis adalah hadis muhkam. Bagi nisbah kepada keseluruhan hadis, hadis yang bercanggah dan berbeza (al-ahadith al-muta`aridhah wa al-mukhtalifah) adalah sedikit.
Definisi Mukhtalif al-Hadith
Dari segi bahasa ia adalah isim fa`il daripada perkataan al-ikhtilaf lawan kepada perkataan al-dhidd. Maksud mukhtalif al-hadith ialah hadis-hadis yang sampai kepada kita dalam keadaan saling bercanggah dan bertentangan antara satu sama lain dari segi makna.
Menurut istilah pula ia adalah hadis maqbul yang ditentang oleh hadis sepertinya dan boleh dihimpunkan antara keduanya.
Iaitu hadis sahih atau hasan yang didatangi oleh hadis lain sepertinya dari segi martabat dan kekuatan, dan secara zahir menyanggahinya pada makna serta dapat dihimpunkan dan diselaraskan pengertian kedua-duanya oleh ahli ilmu dan ulama yang berfikiran tajam dalam bentuk yang boleh diterima.
Contoh Hadis Mukhtalif
Hadis “Tidak ada jangkitan dan sial burung” yang dikeluarkan oleh Muslim dan hadis “Larilah dari orang yang diserang kusta seperti anda lari dari singa” yang dikeluarkan oleh al-Bukhari.
Kedua-dua hadis ini adalah sahih, namun pada zahirnya ada pertentangan kerana hadis yang pertama menafikan jangkitan manakala hadis yang kedua mensabitkannya. Para ulama telah mengkompromikan dan menyelaraskan antara kedua-dua maknanya dengan pelbagai cara. Di sini penulis menyebutkan pandangan yang telah dipilih oleh al-Hafiz Ibn Hajar yang keterangannya seperti berikut:
Metode penyelarasan
Cara menyelaraskan antara dua hadis ini boleh dikatakan, jangkitan itu dinafikan ada dan ianya tidak sabit berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w.:
Sesuatu itu tidak boleh menjangkiti sesuatu yang lain.
Dan sabda baginda kepada orang yang mempersoalkan tentang unta yang berkurap yang berada di tengah-tengah unta sihat lalu bercampur dengannya dan unta dijangkiti kurap juga. Baginda menjawab: Kalau begitu siapa yang menyebabkan jangkitan pada unta yang pertama?
Maksudnya ialah Allah s.w.t. yang menyebabkan penyakit itu pada yang kedua sebagaimana Dia menyebabkan pada yang pertama. Perintah lari atau menjauhi dari orang yang terkena kusta itu adalah sebagai menutup pintu-pintu kerosakan (Sadd al-Zari`a`h) supaya seseorang yang bergaul dengan pesakit kusta itu tidak terkena kepadanya penyakit kusta dengan takdir Allah bukan kerana jangkitan. Dengan itu, dia akan menyangka itu kerana dia bergaul dengan pesakit itu, lalu menyebabkannya mempercayai adanya jangkitan dan menjerumuskannya dalam dosa. Oleh kerana itu, diperintahkan supaya menjauhi pesakit kusta sebagai mengelak diri daripada terjerumus dalam kepercayaan yang membawanya kepada dosa.
Apakah yang wajib dilakukan bila menemui dua hadis maqbul yang saling bertentangan?
Bila seseorang menemui dua hadis maqbul yang saling bertentangan, dia wajib mengikuti peringkat-peringkat berikut:
1. Dia mesti menyelaraskan antara kedua hadis tersebut jika boleh dan wajib beramal dengan kedua-duanya.
2. Jika tidak boleh diselaraskan dengan apa-apa sudut:
i) Sekiranya diketahui mana satu yang nasikh, maka itulah yang diutamakan dan diamalkan dengannya serta yang mansukh ditinggalkan.
ii) Sekiranya tidak diketahui nasikh dan mansukh, maka ditarjihkan salah satunya dengan mana-mana bentuk tarjih yang berjumlah lebih daripada lima puluh bentuk. Dengan itu, hadis yang rajah (kuat) diamalkan.
iii) Sekiranya salah satu hadis tersebut tidak dapat ditarjihkan- ini jarang berlaku- maka ditangguhkan beramal dengan hadis tersebut sehinggalah alasan yang kuat diketahui .
Kepentingan
Disiplin ini merupakan antara ilmu-ilmu hadis yang terpenting kerana semua ulama terpaksa mengetahuinya. Hanya yang memiliki kemahiran yang sempurna di dalam disiplin ini ialah imam-imam yang menggabungkan antara ilmu hadis dan fiqh dan ulama usul yang menyelami makna-makna yang halus. Bagi mereka, jarang sekali timbul kemusykilan apabila berhadapan dengan hadis-hadis seperti ini.
Pertentangan dalil-dalil benar-benar telah merangsangkan fikiran ulama. Padanya terserlah bakat dan kehalusan pemahaman serta pendapat mereka yang baik. Begitu juga padanya juga ramai orang yang mengharungi kebanjirannya tergelincir iaitu dari kalangan mereka yang masih lagi mentah dalam menghadapi perbahasan para ulama.
Kitab-kitab yang terkenal:
1. Ikhtilaf al-Hadith karangan Imam al-Syafi`e. beliau merupakan orang yang pertama membincangkan dan mengarang ilmu ini.
2. Ta’wil Mukhtalif al-Hadith tulisan Ibn Qutaybah Abdullah bin Muslim
3. Musykil al-Athar hasil karangan al-Tahawi Abu Ja`far Ahmad bin Salamah.
Nasikh al-Hadith wa Mansukhuh
Definisi nasakh
Dari sudut bahasa ia mempunyai dua makna, pertama, menghilangkan. Daripadanya terbit contoh nasakhat al-syams al-zill iaitu matahari menghilangkan bayangannya. Kedua, memindahkan. Daripadanya terbit contoh nasakhtu al-kitab iaitu saya memindahkan buku apabila saya menukilkan apa-apa yang ada padanya. Dengan ini, seolah-olah al-nasikh telah menghilangkan al-mansukh atau memindahkannya kepada hukum yang lain.
Manakala makna istilahnya ialah: Syari` (Allah dan Rasul-Nya) telah mengangkat suatu hukum yang datang daripadanya dan menggantikan dengan hukum yang lain yang datang kemudian.
Kepentingan dan kesukarannya
Mengetahui hadis yang memansukhkan dan hadis yang dimansukh merupakan satu disiplin yang penting dan sukar. Al-Zuhri pernah berkata: “Pengetahuan tentang hadis nasikh dan mansukh telah memenatkan dan melemahkan para fuqaha.”
Antara ulama terkenal yang menonjol dalam bidang ini ialah Imam al-Syafi`e dan beliau mempunyai jasa dan sumbangan yang sungguh besar. Imam Ahmad bertanya kepada Ibn Warah yang tiba dari Mesir: “Adakah anda mencatat buku-buku al-Syafi`e? Beliau menjawab: “Tidak”. Beliau berkata: “Anda telah cuai. Kami tidak mengetahui mana yang mujmal[10] dan mana yang mufassar[11], mana yang hadis nasikh dan mana hadis mansukh sehinggalah kamu duduk di majlis al-Syafi`e.
Bagaimana hadis nasikh dan mansukh diketahui?
Hadis nasikh dan mansukh diketahui dengan salah satu daripada perkara-perkara berikut:
1. Penjelasan Rasulullah s.a.w. seperti hadis Buraidah di dalam Sahih Muslim:
كنت نهيتكم عن زيارة القبور فزوروها فإنها تذكّر الآخرة
Dahulu aku melarang kamu dari menziarahi kubur, maka ziarahilah kubur kerana ia mengingatkan kamu akan akhirat.
2. Kata-kata sahabat seperti Jabir bin Abdullah berkata:
كان آخر الأمرين من رسول الله صلى الله عليه وسام ترك الوضوء مما مست النار
Perkara terakhir daripada Rasulullah s.a.w. ialah tidak berwuduk kerana memakan makanan yang dimasak dengan api.
Hadis ini telah dikeluarkan oleh pengarang-pengarang kitab sunan.
3. Mengetahui sejarah seperti hadis Syaddad bin Uwais yang diriwayatkan oleh Abu Daud:
أفطر الحاجم والمحجوم. رواه أبو داود
Puasa tukang bekam dan orang dibekam telah terbatal.
Hadis ini telah dinasakhkan oleh hadis Ibn Abbas:
أن النبي صلى الله عليه وسام احتجم وهو محرم صائم . رواه مسلم
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah berbekam di dalam keadaan baginda berihram dan berpuasa. (hadis riwayat Muslim)
Dalam sesetengah tariq hadis Syaddad, itu berlaku pada zaman pembukaan Mekah sedangkan Ibn Abbas mendampingi baginda ketika Hajjatul Wida`.
4. Petunjuk ijmak seperti hadis
من شرب الخمر فاجلدوه فإن عاد في الرابعة فاقتلوه. رواه أبو داود والترمذي
Sesiapa meminum arak maka rotanlahnya. Sekiranya dia mengulangi pada kali keempat maka bunuhlahnya. (hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Imam al-Nawawi berkata: Ijmak menunjukkan tentang mansukhnya hukum itu. Ijmak itu sendiri tidak memansukhkannya dan tidak juga dinasakhkan tetapi menunjukkan kepada nasikh (hadis yang menasakhkan).
Kitab-kitab yang terkenal
1. al-I`tibar fi al-Nasikh wa al-Mansukh min al-Athar karangan Abu Bakar Muhammad ibn Musa al-Hazimi.
2. al-Nasikh wa al-Mansukh karangan Imam Ahmad
3. Tajrid al-Ahadith al-Mansukhah tulisan Ibn al-Jawzi.
atas
3.3 FASAL KETIGA : KHABAR MARDUD (TERTOLAK)
PERBAHASAN PERTAMA: AL-DHA`IF
PERBAHASAN KEDUA: MARDUD DENGAN SEBAB GUGUR PERAWI DARIPADA SANAD
PERBAHASAN KETIGA: MARDUD KERANA KECAMAN TERHADAP PERAWI
Khabar mardud dan sebab-sebab penolakannya
Definisi:
Hadis yang tidak terbukti kebenaran perawi kerana ketiadaan salah satu atau lebih syarat penerimaan hadis yang kita telah bincangkan dalam perbahasan hadis sahih.
Pembahagian Mardud dan sebab-sebab penolakannya
Ulama telah membahagikan khabar mardud kepada beberapa bahagian. Bagi setiap bahagian itu, ulama telah menyebutkan namanya masing-masing. Ada juga yang tidak diberikan nama khusus tetapi mereka menamakannya dengan nama umum iaitu dha`if.
Terdapat banyak sebab-sebab penolakan sesuatu hadis namun secara ringkasnya ia merujuk kepada dua sebab utama iaitu:
1. Keguguran perawi daripada sanad
2. Kecaman terhadap perawi
Di bawah setiap sebab ini terdapat pelbagai bentuk. Penulis akan membincangkan dengan berasingan secara terperinci dengan didahului dengan perbahasan dha`if yang dikira sebagai nama umum bagi hadis mardud.
3.3.1 PERBAHASAN PERTAMA : DHAIF
Definisi
Dari sudut bahasa ia lawan kepada al-qawiyy (yang kuat), kelemahan itu terbahagi kepada konkrit dan abstrak. Yang dimaksudkan di sini ialah kelemahan abstrak.
Makna istilahnya pula ialah hadis yang tidak mencukupi sifat hasan kerana ketiadaan salah satu syaratnya.
Al-Bayquni mengungkapkan di dalam nazamnya:
كل ما عن رتبة الحسن قصر فهو الضعيف وهو أقسام كثر
Setiap apa daripada tingkat hasan, rendah maka itu dhai`f dan bahagiannya banyak
Kepelbagaiannya
Tahap kedha`ifan hadis berbeza mengikut tahap berat dan ringan kelemahan para perawi sebagaimana hadis sahih berbeza-beza. Antaranya dha`if, dha`if jiddan, wahi, munkar dan yang paling jelik ialah mawdhu`.
Sanad yang paling lemah
Berdasarkan kepada perbahasan dalam hadis sahih tentang sanad yang paling sahih, ulama menyebut dalam perbahasan dha`if satu istilah yang dinamakan sanad yang paling lemah. Al-Hakim al-Naisaburi menyebut beberapa buah sanad yang paling dha`if dengan nisbah kepada sebahagian sahabat, sebahagian kawasan dan negeri. Penulis akan menyebutkan beberapa contoh daripada kitab al-Hakim dan kitab-kitab lain.
1. Sanad yang paling lemah dengan nisbah kepada Abu Bakar al-Siddiq iaitu Sadaqah bin Musa al-Daqiqi daripad Farqad al-Sabkhi daripada Murrah al-Tayyib daripada Abu Bakar.
2. Sanad penduduk Syam yang paling lemah iaitu Muhammad bin Qays al-Maslub daripada Ubaidullah bin Zahr daripada Ali bin Yazid daripada al-Qasim daripada Abi Umamah
3. Sanad yang paling lemah dengan nisbah kepada Ibn Abbas iaitu al-Suddi al-Saghir Muhammad bin Marwan daripada al-Kalbi daripada Abu Salih daripada Ibn Abbas. Hafiz Ibn Hajr berkata: Ini adalah silsilah dusta bukan silsilah emas.
Contoh
Hadis yang dikeluarkan oleh al-Tirmizi dari tariq Hakim al-Athram daripada Abu Tamimah al-Hujaimai daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
من أتى حائضا أو امرأة في دبرها أو كاها فقد كفر بما أنزل على محمد
Sesiapa yang mendatangi permpuan yang haid atau mendatangi isteri pada duburnya atau menemui tukang tilik, sesungguhnya dia telah mengkufuri apa yang telah diturunkan kepada Muhammad.
Setelah mengeluarkan hadis ini, al-Tirmizi mengulas: “Kita tidak mengetahui hadis ini dari hadis Hakim al-Athram daripada Abu Tamimah al-Hujaimai daripada Abu Hurairah.” Kemudian al-Tirmizi berkata lagi: “Muhammad al-Bukhari telah mendha`ifkan hadis ini dari sudut sanadnya. Penulis berpendapat kerana pada sanadnya ada Hakim al-Athram. Ulama telah mengatakannya dha`if. Di dalam Taqrib al-Tahzib, Hafiz Ibn Hajar berkata: Padanya ada kelemahan.”
Hukum meriwayatkan hadis dha`if
Di sisi ulama hadis dan juga orang lain, harus meriwayatkan hadis dha`if dan bermudah pada sanadnya tanpa menjelaskan kedha`ifannya berbeza dengan yang mawdhu kerana tidak harus meriwayatkannya kecuali dengan menjelaskan tentangnya. Keharusan meriwayatkan hadis dha`if dengan dua syarat:
1. Tidak berkait dengan aqidah
2. Periwayatan itu bukan tentang hukum syara` yang berkaitan dengan halal haram
Harus meriwayatkannya pada perkara seperti peringatan, galakan, ancaman, cerita-cerita dan sebagainya. Antara mereka yang disebutkan bermudah-mudah dalam meriwayatkannya ialah Sufyan al-Thauri, Abdul Rahman bin Mahdi dan Ahmad bin Hanbal
Perlu diberi perhatian apabila anda meriwayatkan hadis dha`if tanpa sanad, jangan katakan ‘Rasulullah s.a.w. bersabda’, tetapi katakan ‘diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w….’ atau ‘sampai kepada kami’ dan sebagainya supaya anda tidak secara pasti menisbahkan hadis tersebut kepada Rasulullah s.a.w. sedangkan anda mengetahui kelemahannya.
Hukum beramal
Ulama berbeza pendapat tentang hukum beramal dengan hadis dha`if. Pendapat yang dipegang oleh majoriti ulama ialah dianggap sunnat beramal dengan hadis dha`if berkenaan dengan keutamaan-keutamaan amalan namun dengan tiga syarat yang telah dihuraikan oleh Hafiz Ibn Hajar:
1. Kedha`ifan yang tidak bersangatan
2. Ia termasuk di bawah prinsip atau dalil yang diamalkan
3. Tidak boleh yakin tentang sabitnya ketika beramal dengannya bahkan mesti berhati-hati.
Kitab-kitab terkenal yang didapatimengandungi banyak hadis dha`if:
1. Kitab-kitab yang disusun berkenaan perawi-perawi dha`if seperti Kitab al-Dhu`afa’ tulisan Ibn Hibban, Mizan al-I`tidal karangan al-Zahabi. Mereka telah menyebutkan contoh-contoh hadis dha`if yang menjadi dha`if kerana periwayatan orang-orang dha`if tersebut.
2. Kitab-kitab yang disusun tentang bentuk-bentuk dha`if secara khusus seperti kitab-kitab al-Marasil, al-`Ilal, al-Mudraj dan sebagainya. Contohnya Kitab al-Marasil tulisan Abu Daud, Kitab al-`Ilal susunan al-Daruqutni.

[1] Ma`alim al-sunan, jil. 2 hal. 11
[2] Jami` al-Tirmizi ma` syarh Tuhfah al-Ahwazi-Kitab al-`Ilal fi Akhirihi jil .10 hal. 519
[3] Nuzhah al-Nazar syarh Nukhbah al-Fikar, hal. 29
[4] lihat Tadrib al-Rawi, hal. 87
[5] Jami` al-Tirmizi, Abwab Fadhail al-Jihad,
[6] Pengarangnya menghimpunkan hadis-hadis yang disaring daripada Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, kitab-kitab Sunan yang empat dan Sunan al-Darimi. Kitab inilah yang dibuat tambahan dan diedit oleh al-Khatib al-Tibrizi dan menamakannya sebagai Misykah al-Masabih.
[7] (iaitu boleh dijadikan hujjah-Pent. Lihat, Tadrib al-Rawi, hal. 131)
[8] Hadis ini dikeluarkan oleh al-Tirmizi di dalam Kitab al-Taharah, juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim melalui Abi al-Zinad daripada Abi Hurairah.
[9] `Ulum al-Hadith, hal.31-32
[10] Mujmal iaitu lafaz yang ringkas dan tidak dijelaskan maksudnya.
[11] Mufassar iaitu lafaz yang telah dijelaskan maksudnya oleh nas yang lain.

Maksud gugur dari sanad ialah terputus rantaian perawi dengan sebab gugur seorang perawi dari sanad, secara sengaja ataupun tidak, yang dilakukan oleh sebahagian perawi, sama ada dari awal sanad, pertengahan ataupun akhir, sama ada secara jelas atau tersembunyi.
Bahagian-Bahagian Gugur
Berdasarkan kepada jelasnya atau tidak gugur perawi dari sanad itu terbahagi kepada dua:
Pertama: Gugur yang jelas
Gugur ini diketahui oleh para imam dan mereka yang terlibat dengan ilmu-ilmu hadis. Bentuk gugur ini dapati dikesan berdasarkan kepada seorang perawi itu tidak bertemu dengan gurunya. Sama ada dia tidak sezaman dengannya atau sezaman tetapi tidak sempat bertemu dengannya (dan tidak mempunyai ijazah dan juga wijadah). Oleh itu, pengkaji sanad-sanad hadis perlu mengetahui sejarah perawi-perawi kerana ia mengandungi keterangan tentang tarikh lahir dan wafat, zaman pengajian, pengembaraan mereka dan sebagainya.
Ulama hadis telah memperkenalkan empat nama bagi hadis yang mengalami gugur jelas berdasarkan kepada tempat atau bilangan perawi yang gugur.
1. al-Mu`allaq
2. al-Mursal
3. al-Mu`dhal
4. al-Munqati`
Kedua: Gugur tersembunyi
Bahagian ini hanya diketahui oleh para imam yang mahir dan mengetahui jalan-jalan hadis dan kecacatan-kecacatan sanad.
Ia mempunyai dua nama iaitu:
1. al-Mudallas
2. al-Mursal al-Khafiy
AL-MU`ALLAQ
Definisi:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja `allaqa al-syai’ iaitu menggantungkan dan mengikatnya supaya ia menjadi tergantung. Sanad ini dinamakan dengan mu`allaq kerana ia bersambung dengan bahagian atas sanad sahaja dan terputus pada bahagian paling bawah seperti sesuatu yang tergantung pada bumbung.
Dari segi istilah ia adalah hadis yang dibuang seorang perawi atau lebih pada awal sanad secara berturut.
Bentuknya:
1. Keseluruhan sanad dibuang kemudian dikatakan Rasulullah s.a.w. bersabda…
2. Keseluruhan sanad dibuang kecuali sahabat atau sahabat dan tabi`in.
Contoh
Hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di awal Bab Ma Yuzkar fi al-Fakhz:
وقال أبو موسى: غطى النبي صلى الله عليه وسلم ركبتيه حين دخل عثمان.
“Abu Musa berkata: Rasulullah s.a.w. menutup kedua-dua lututnya ketika Uthman masuk.”
Hadis ini adalah hadis mu`allaq kerana Imam al-Bukhari membuang keseluruhan sanadnya kecuali sahabat sahaja iaitu Abu Musa al-Asy`ari.
Hukum Hadis Mu`allaq
Hadis mu`allaq adalah mardud (tertolak) kerana ia tidak mempunyai salah satu syarat penerimaan hadis iaitu bersambung-sambung sanad. Tertolaknya hadis itu dengan
sebab gugur seorang atau lebih perawi dari sanad dalam keadaan tidak diketahui keadaan perawi yang gugur itu.
Hukum Hadis-Hadis Mu`allaq Dalam Sahih al-Bukhari Dan Muslim
Hukum ini iaitu hadis mu`allaq tertolak hanya kepada hadis mu`allaq secara mutlak. Tetapi jika hadis mu`allaq itu didapati di dalam kitab yang pengarangnya beriltizam hanya mengeluarkan hadis sahih sahaja seperti Sahih al-Bukhari dan Muslim, maka ia mempunyai hukum yang tersendiri. Penulis sudahpun menyentuhnya dalam perbahasan hadis sahih. Namun tidak mengapa untuk disebutkan juga di sini.
1. Hadis yang disebutkan dengan lafaz yang pasti seperti ‘berkata’, ‘menyuruh’ dan ‘menyebut’ maka ia dihukumkan sebagai sahih daripada orang yang disandarkan kepadanya hadis itu.
2. Hadis yang dikemukakan dengan lafaz yang tidak pasti seperti ‘diriwayatkan daripada’, ‘disebutkan’, ‘diceritakan’, ‘telah diriwayatkan’, ‘telah disebutkan’, maka ia tidak hukumkan sebagai sahih. Bagaimanapun di dalam Sahih al-Bukhari ini, tidak ada satupun hadis wahin (sangat dhaif) untuk dimasukkan dalam kitab yang dinamakan dengan kitab sahih. Untuk mengetahui kesahihan dan kedhaifan hadis ini, perlu mengkaji sanad hadis ini dan menghukumnya sesuai dengan kedudukannya.
AL-MURSAL
Definisi:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja arsal iaitu melepaskan. Seolah-olah orang yang meriwayatkan hadis secara mursal melepaskan sanadnya tanpa mengikatnya dengan perawi yang dikenali.
Dari segi istilah ia adalah hadis yang gugur dari penghujung sanad perawi selepas tabi`in.
Bentuknya:
Bentuknya ialah seorang tabi`in – besar atau kecil- berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, melakukan sesuatu atau sesuatu perkara dilakukan di hadapan baginda. Ini adalah bentuk mursal di sisi ulama hadis.
Contoh
Hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahih dalam kitab al-Buyu` (1539).
وحدثني محمد بن رافع. حدثنا حجين بن المثنى. حدثنا الليث عن عقيل، عن ابن شهاب، عن سعيد بن المسيب؛
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم نهى عن بيع المزابنة
Kata Imam Muslim: Muhammad bin Rafi` menceritakan kepadaku bahawa Hujain menceritakan kepadaku bahawa al-Laith menceritakan daripada `Uqail daripada Ibn Syihab daripada Sa`id bin al-Musayyab bahawa Rasulullah s.a.w. melarang dari al-Muzabanah.
Sa`id bin al-Musayyab adalah tabi`in besar telah meriwayatkan hadis ini daripada Rasulullah s.a.w. tanpa menyebut perantaraan di antaranya dengan Rasulullah s.a.w. Beliau telah menggugurkan daripada sanad ini seorang perawi selepas dari tabi`in. paling kurang seorang sahabat yang gugur dan berkemungkinan gugur bersama sahabat itu perawi lain seperti seorang tabi`in.
Mursal Menurut Fuqaha’ Dan Ulama Usul
Bentuk mursal yang penulis sebutkan itu adalah mursal di sisi Ulama Hadis. Sementara itu, mursal menurut Fuqaha dan Ulama Usul lebih luas lagi. Bagi mereka, setiap hadis munqati` tanpa mengira bagaimana bentuk terputus sanadnya adalah mursal. Ini juga pendapat al-Khatib.
Hukumnya
Mursal pada asalnya dha`if dan tertolak kerana tidak memiliki salah satu syarat hadis maqbul iaitu tidak bersambung-sambung sanadnya dan tidak diketahui kedudukan perawi yang digugurkan. Ada kemungkinan perawi yang gugur itu bukan sahabat. Dalam hal ini, boleh jadi pearwi yang gugur itu daif.
Walaupun begitu, ulama hadis dan lain-lain tidak sepakat tentang hukum hadis mursal dan berhujah dengannya kerana bentuk inqita` (terputus sanad) berbeza dengan yang lain. Juga kerana perawi yang gugur itu biasanya sahabat dan kesemua sahabat adalah adil dan tidak menjejaskan jika mereka tidak diketahui.
Ringkasnya ada tiga pendapat ulama tentang hadis mursal:
1. Dha`if dan mardud, iaitu di sisi kebanyakan ulama hadis, ulama usul dan fuqaha. Hujah mereka ialah kerana tidak diketahui kedudukan perawi yang digugurkan kerana ada kemungkinan dia bukan sahabat.
2. Sahih dan dijadikan hujah, ini pendapat Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad dalam satu riwayat yang masyhur daripadanya serta sekumpulan ulama dengan syarat perawi yang memursalkan itu seorang thiqah dan hanya memursalkan daripada perawi thiqah sahaja. Hujah mereka ialah tabi`in yang thiqah tidak menganggap harus untuk berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda kecuali beliau mendengar daripada perawi yang thiqah.
3. Menerima dengan syarat. Iaitu mursal menjadi sahih dengan beberapa syarat. Ini merupakan pendapat al-Syafi`e dan sebahagian ahli ilmu. Ada empat syarat, tiga berkenaan dengan perawi yang memursalkan dan satu berkenaan hadis mursal itu.
Syarat-syarat tersebut ialah:
i. Perawi yang memursalkan itu adalah tabi`i yang besar.
ii. Apabila beliau menyebutkan perawi yang digugurkan itu, beliau akan menamakan perawi yang thiqah.
iii. Beliau tidak bercanggah dengan perawi-perawi yang hafiz dan dipercayai jika mereka meriwayatkan hadis yang sama.
iv. Tiga syarat di atas hendaklah disertakan dengan salah satu syarat yang berikut:
a) Hadis itu diriwayat melalui jalan yang lain secara musnad (bersambung).
b) Hadis itu diriwayatkan secara mursal melalui tariq yang lain bukan dari perawi hadis mursal yang pertama itu.
c) Hadis itu bertepatan dengan qaul al-Sahabi (pendapat sahabat)
d) Kebanyakan ulama menfatwakan mengikut makna hadis itu.
Apabila syarat-syarat ini dipe
dipenuhi, kesahihan punca hadis mursal itu akan terbukti begitu juga riwayat-riwayat lain yang menyokongnya. Kedua-duanya adalah sahih. Sekiranya terdapat suatu hadis sahih yang mempunyai satu jalan (sanad) bercanggah dengannya dan tidak dapat diselaraskan antara kedua-duanya maka hadis itu akan ditarjihkan dengan sebab mempunyai banyak jalan.
atas
Mursal al-Sahabi
Iaitu hadis yang diriwayatkan oleh sahabat tentang ucapan atau perbuatan Rasulullah s.a.w. yang tidak pernah didengari dan disaksikannya. Sama ada kerana usianya yang muda atau lewat memeluk Islam atau tidak ada di samping baginda. Hadis-hadis sahabat-sahabat yang kecil termasuk di dalam bahagian ini seperti Ibn Abbas, Ibn al-Zubair dan lain-lain.
Hukum Mursal al-Sahabi
Mengikut pendapat yang masyhur yang diputuskan oleh majoriti ulama ialah sahih dan dijadikan hujah kerana jarang berlaku periwayatan sahabat daripada tabi`in. Apabila sahabat meriwayatkan daripada tabi`in mereka akan menyatakan dan mereka berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda hukum asal ialah mereka mendengar daripada sahabat lain. Sebagaimana ditegaskan sebelum ini, menggugurkan sahabat di dalam periwayatan tidak menjejaskan.
Dikatakan, hukum Mursal al-Sahabi seperti mursal lain, tetapi pendapat ini dha`if dan tertolak.
Kitab-kitab yang masyhur
1. al-Marasil karangan Abu Daud.
2. al-Marasil karangan Ibn Abi Hatim.
3. Jami` al-Tahsil Li Ahkam al-Marasil karangan al-`Ala’i.
AL-MU`DHAL
Definisi:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja a`dhala iaitu memenatkan. Dari segi istilah ia adalah hadis yang gugur dari sanad dua orang perawi berturut-turut.
Contohnya
Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim di dalam Ma`rifah `ulum al-Hadith dengan sanadnya kepada al-Qa`nabi
عن مالك إنه قد بلغه أن أبا هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم للمملوك طعامه وكسوته بالمعروف ولا يكلف من العمل إلا ما يطيق هذا معضل أعضله عن مالك هكذا في الموطأ
“Daripada Malik bahawa sampai kepadanya bahawa Abu Hurairah berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Hamba yang dimiliki itu berhak mendapat makanannya, pakaiannya secara yang baik. Dia tidak boleh dibebankan dengan kerja melainkan yang mampu dilaksanakannya. Al-Hakim berkata: Hadis ini mu`dhal daripada Malik demikianlah yang diriwayatkannya secara mu`dhal di dalam al-Muwatta’”
Hadis ini mu`dhal kerana dua orang perawi berturut-turut gugur antara Malik dan Abu Hurairah. Kita telahpun mengetahui bahawa keguguran ini berlaku berdasarkan kepada hadis lain yang diriwayatkan di luar kitab al-Muwatta’. Sanad itu ialah daripada Malik daripada Muhammad bin `Ajlan daripada bapanya daripada Abu Hurairah.
Hukumnya
Mu`dhal adalah hadis yang dha`if dan keadaan lebih buruk daripada hadis mursal dan munqati` kerana ramainya perawi yang gugur daripada sanad. Hukum ini sepakat di kalangan ulama.
Persamaan Antara Mu`dhal Dan Mu`allaq
Di antara mu`dhal dan mu`allaq terdapat hubungan keumuman dan kekhususan dari satu sudut.
1. Menyerupai mu`alaq dari sudut, apabila dua orang perawi berturut-turut dibuang dari permulaan sanadnya. Pada ketika itu, hadis ini dalam masa yang sama mu`dhal dan mu`allaq.
2. Berbeza dalam dua bentuk:
i. Apabila dua orang perawi berturut-turut dibuang dari pertengahan sanad maka itu adalah mu`dhal tidak mu`allaq.
ii. Apabila seorang perawi sahaja yang dibuang dari permulaan sanad, maka ia adalah mu`allaq tidak mu`dhal.
Antara Sumber Hadis Mu`dhal
Al-Suyuti menulis: Di antara sumber hadis mu`dhal ialah:
1. Kitab al-Sunan karangan Sa`id bin Mansur.
2. Kitab-kitab Ibn Abi al-Dunya.
Al-Munqati`
Definisi:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama pelaku bagi kata kerja inqata`a iaitu terputus. Dari segi istilah ia adalah hadis yang sanadnya tidak bersambung dari mana sudut sekalipun.
Contohnya
Iaitu setiap sanad yang terputus di mana-mana tempat sanad sama ada di awal sanad atau akhirnya atau pertengahannya. Dengan itu, termasuk di dalam takrif ini, mursal, Mua`allaq dan Mu`dhal. Bagaimanapun, ulama mustalih hadis mutakhirin mengkhususkan munqati` dengan hadis yang tidak mempunyai bentuk hadis mursal, mu`allaq atau mu`dhal. Begitu juga kebiasaan penggunaan ulama mutaqaddimin. Oleh kerana itu, Imam al-Nawawi menyatakan: “Munqati` itu lebih banyak digunakan kepada riwayat perawi yang berada pada tingkatan selepas tabi`i daripada sahabat seperti Malik daripada Ibn Umar.
Munqati` Mengikut Ulama Hadis Yang Mutakhir
Iaitu hadis yang tidak bersambung sanadnya yang tidak termasuk di dalam nama mursal, mu`allaq atau mu`dhal. Seolah-olah munqati` lebih umum bagi setiap sanad yang terputus selain dari tiga bentuk iaitu gugur di awal sanad, gugur di akhir sanad atau gugur dua perawi berturut di mana-mana tempat. Inilah yang dipilih oleh Hafiz Ibn Hajar di dalam al-Nukhbah dan syarahnya al-Nuzhah.
Kadang-kadang terputus sanad berlaku di satu bahagian pada sanad kadang-kadang berlaku lebih daripada satu seperti dua atau tiga bahagian,
Contohnya
Hadis yang diriwayatkan oleh Abd al-Razzaq
ثنا عبد الرازق قال ذكر الثوري عن أبي إسحاق عن زيد بن يثيع عن حذيفة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إن وليتموها أبا بكر فقوي أمين
“Abd al-Razzaq telah menceritakan kepada kami katanya al-Thauri telah menyebutkan daripada Abu Ishaq daripada Zaid bin Yuthai` daripada Huzaifah secara marfu`: Jika kamu melantik Abu Bakar akan jawatan itu maka beliau adalah seorang yang kuat dan amanah.”
Di pertengahan sanad ini, seorang perawi telah gugur iaitu Syarik antara al-Thauri dan Abu Ishaq kerana al-Thauri tidak pernah mendengar hadis daripada Abu Ishaq secara langsung. Sebenarnya beliau mendengar daripada Syarik dan Syarik mendengar daripada Abu Ishaq.
Terputus sanad ini tidak sesuai untuk dikatakan sebagai mursal, mu`allaq atau mu`dhal. Justeru kita mengatakan ia adalah munqati`.
Hukumnya:
Munqati` adalah dhaif dengan sepakat ulama kerana tidak mengetahui kedudukan perawi yang gugur.
AL-MUDALLAS
Definisi al-Tadlis:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata dasar tadlis iaitu menyembunyikan kecacatan barang daripada pembeli. Kata akar tadlis ialah al-dalas iaitu kegelapan atau pencampuranan dengan kegelapan sebagaimana yang disebutkan oleh kitab al-Qamus al-Muhit. Seolah-olah, kerana perawi mudallis menyembunyikan kepada orang yang mahu mengetahui sesebuah hadis bermakna dia telah mengelapkan perkara itu dan jadilah hadis itu mudallas (digelapkan).
Dari segi istilah ia adalah menyembunyikan keaiban di dalam sanad dan memperelokkan zahirnya.
Pembahagian Tadlis
Tadlis mempunyai dua bahagian utama iaitu Tadlis al-Isnad dan Tadlis al-Syuyukh.
Tadlis al-Isnad
Ulama telah memberi pelbagai definisi bagi tadlis al-Isnad. Penulis akan memilih yang paling sahih dan paling halus mengikut pandangan penulis iaitu takrif Imam Abu Ahmad bin Amar al-Bazzar dan Abu al-Hasan bin al-Qattan. Takrif tersebut ialah:
“Seorang perawi meriwayatkan hadis –hadis yang tidak pernah didengari daripada perawi yang dia ada mendengar daripadanya tanpa menyebut dengan jelas bahawa dia mendengar daripadanya”
Huraian takrif:
Maksud takrif ini ialah Tadlis al-Isnad ialah seorang perawi telah meriwayatkan beberapa hadis daripada seorang syaikh yang dia pernah mendengar daripadanya tetapi hadis yang ditadliskannya itu dia tidak mendengar sendiri daripada syaikh tersebut. Sebenarnya dia meriwayatkannya daripada syaikh yang lain daripada syaikh yang pertama tadi. Jadi dia telah mengugurkan syaikh tersebut lalu meriwayatkan dengan lafaz yang diandaikan dia mendengar sendiri seperti ‘dia telah berkata’ atau ‘daripada’. Bagaimanapun dia tidak menyatakan dengan jelas bahawa dia mendengar hadis tersebut daripada syaikh itu. Dengan sebab itu dia tidak berkata, ‘Saya mendengar’, ‘telah menceritakan kepada saya’, supaya dia tidak menjadi seorang pendusta besar dengan sebab perbuatan itu. Kadang-kadang perawi yang digugurkannya itu lebih daripada seorang.
Perbezaan Antara Tadlis al-Isnad Dan al-Irsal al-Khafiy
Setelah mengemukakan takrifnya, Abu al-Hasan al-Qattani menyatakan: perbezaan di antara Tadlis al-Isnad dan al-Irsal al-Khafi iaitu al-Irsal ialah perawinya adalah daripada orang yang dia tidak pernah mendengar hadis daripadanya. Ringkasnya ialah al-Mursil al-Khafi (perawi yang melakukan al-Irsal al-Khafi) dan al-Mudallis meriwayatkan daripada syaikh hadis yang tidak pernah didengari daripada syaikh itu dengan lafaz yang memberi kemungkinan dia mendengar. Tetapi al-Mudallis ada mendengar juga beberapa hadis lain selain daripada hadis yang ditadliskannnya sedangkan al-Mursil al-Khafi langsung tidak pernah mendengar hadis daripada syaikh tersebut, baik hadis yang dimursalkannya atau hadis-hadis lain. Cumanya dia hanya hidup sezaman atau pernah bertemu sahaja.
Contohnya:
Hadis yang dikeluarkan oleh al-Hakim dengan sanadnya melalui Ali bin Khasyram,
علي بن خشرم قال قال لنا بن عيينة عن الزهري فقيل له سمعته من الزهري فقال لا ولا ممن سمعه من الزهري حدثني عبد الرزاق عن معمر عن الزهري
“Ali bin Khasyram berkata, Ibn Uyainah berkata kepada kami daripada al-Zuhri lalu beliau ditanya adakah anda mendengar daripada al-Zuhri katanya tidak, tidak dari orang yang mendengarnya daripada al-Zuhri. Abd al-Razzaq telah menceritakan kepadaku daripada Ma`mar daripada al-Zuhri.”
Di dalam contoh ini, Ibn Uyainah telah menggugurkan dua orang perawi di antara beliau dan al-Zuhri.
Tadlis al-Taswiyah
Sebenarnya bentuk tadlis ini salah satu bentuk Tadlis al-Isnad. Takrifnya ialah periwayatan seorang perawi daripada syeikhnya kemudian menggugurkan seorang perawi dhaif di antara dua perawi thiqah yang masing-masing saling bertemu. Gambarannya ialah seorang perawi meriwayatkan satu hadis daripada seorang syeikh yang thiqah. Syeikh yang thiqah itu meriwayatkan daripada perawi dhaif daripada perawi thiqah. Dua perawi yang thiqah ini pernah bertemu. Lalu perawi yang mendengar hadis daripada thiqah yang pertama datang dengan menggugurkan perawi dhaif yang terdapat di dalam sanad. Dia menjadikan sanad itu daripada syeikh yang thiqah dari syeikh thiqah yang kedua dengan lafaz yang tidak jelas lalu dia telah menyamakan keseluruhan sanad itu daripada perawi-perawi thiqah.
Ini adalah bentuk tadlis yang paling jelik kerana perawi thiqah yang pertama kemungkinan tidak pernah dikenali sebagai mudallis. Orang yang datang kemudian dan melihat sanad ini setelah berlaku tadlis taswiyah akan mendapati ianya telah diriwayatkan daripada perawi thiqah lalu dia menghukumkan sahih. Maka ini adalah satu tipu daya yang dahsyat.
Orang yang terkenal melakukan tadlis
Baqiyyah bin al-Walid. Abu Mushir berkata: hadis-hadis Baqiyah tidaklah bersih maka hendaklah anda berwaspada.
Al-Walid bin Muslim. Contohnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim di dalam kitabnya al-`Ilal, katanya: Saya mendengar bapa saya berkata- lalu dia menyebutkan hadis yang diriwayatkan oleh Ishaq bin Rahawaih daripada Baqiyah, Abu Wahb al-Asadi telah menceritakan kepada saya daripada Nafi` daripada Ibn Umar hadis:
Jangan kamu memuji keislaman seseorang sehinggalah kamu mengetahui pegangannya. Bapa saya berkata: Hadis ini mempunyai satu perkara yang jarang diketahui. Hadis ini diriwayatkan daripada Ubaidillah bin Amar daripada Ishaq bin Abu Farwah daripada Nafi` daripada Ibn Umar daripada Rasulullah s.a.w.. Ubaidullah adalah seorang yang thiqah. Ibn Amar, kunyahnya ialah Abu Wahb dan dia dinisbahkan dengan al-Asadi. Baqiyyah telah menyebutkan Ubaidullah dengan kunyahnya dan menisbahkannya kepada Bani Asad supaya kedudukannya tidak diketahui sehingga orang lain tidak menyedari bahawa dia menggugurkan Ishaq bin Abi Farwah.
Tadlis al-Syuyukh
Definisi: Seorang perawi meriwayatkan satu hadis yang didengarnya daripada syaikh lalu dia menamakannya, memberikan kunyah, menisbahkannya atau menyifatkannya dengan sesuatu yang syaikh itu tidak dikenali dengannya supaya tidak dikenali.
Contohnya: Abu Bakar bin Mujahid, salah seorang imam qiraat berkata: Abdullah bin Abi Abdullah menceritakan kepada saya. Yang dimaksudkannya ialah Abu Bakar bin Abu Daud al-Sajistani.
atas
Hukum Tadlis
Tadlis al-Isnad hukumnya adalah sangat makruh dan dicela oleh kebanyakan ulama. Syu`bah adalah seorang ulama yang keras dalam mencela tadlis sehingga ada beberapa celaan daripada beliau. Antaranya ialah, tadlis adalah saudara berdusta.
Manakala hukum tadlis al-Taswiyah lebih makruh lagi sehingga al-Iraqi berkata: Ia mencacatkan orang yang sengaja melakukannya.
Tadlis al-Syuyukh pula, hukum makruhnya lebih ringan daripada tadlis al-Isnad kerana mudallis tidak menggugurkan sesiapa. Ia dihukumkan makruh kerana mengabaikan perawi yang diriwayatkan daripadanya dan menyukarkan kepada pendengar untuk mengetahuinya. Keadaan makruh berbeza mengikut tujuan tadlis itu.
Sebab-Sebab Yang Menyebabkan Tadlis
Sebab-sebab berlakunya tadlis al-Syuyukh:
1. Syaikh itu seorang daif atau tidak thiqah.
2. Syaikh itu berusia lanjut sehingga sekumpulan perawi yang lain juga mendengar hadis daripadanya selain dari perawi yang melakukan tadlis.
3. Syaikh itu muda sehingga muridnya itu lebih tua daripadanya.
4. Telalu banyak periwayatan daripada beliau. Oleh itu perawi yang melakukan tadlis ini tidak mahu menyebutkan nama gurunya ini dengan satu cara.
Tujuan-tujuan tadlis al-Isnad:
1. Untuk mewahamkan bahawa sanad itu tinggi.
2. Terlepas satu bahagaian hadis daripada syaikh yang dia mendengar daripadanya.
3. Syaikh itu seorang daif atau tidak thiqah.
4. Syaikh itu berusia lanjut sehingga sekumpulan perawi yang lain juga mendengar hadis daripadanya selain dari perawi yang melakukan tadlis.
5. Syaikh itu muda sehingga muridnya itu lebih tua daripadanya.
Tiga sebab mengapa tercelanya perawi tadlis.
1. Dia telah mewahamkan bahawa dia mendengar hadis daripada perawi yang tidak didengarinya.
2. Dia meninggalkan cara periwayatan yang nyata kepada cara yang menimbulkan pelbagai kemungkinan.
3. Dia menyedari sekiranya dia menyebutkan perawi yang ditadliskannya tentu dia tidak akan disenangi.
Hukum Periwayatan Perawi Tadlis
Ulama berbeza pendapat tentang penerimaan riwayat perawi tadlis. Dua pendapat yang masyhur ialah:
1. Riwayatnya ditolak sama sekali walaupun dia menyatakan bahawa dia mendengar kerana tadlis itu sendiri merupakan tajrih. Pendapat ini tidak dipegang oleh ulama.
2. Pendapat yang sahih mengemukakan perincian iaitu:
• Jika dia menyatakan ‘saya mendengar’ maka riwayatnya diterima iaitu beliau mengatakan saya mendengar atau sebagainya maka hadisnya diterima.
• Jika dia tidak menjelaskan bahawa dia mendengar maka riwayatnya tidak diterima. Iaitu jika dia mengatakan ‘daripada’ dan sebagainya maka hadisnya tidak diterima.
Bagaimana Tadlis Dapat Dikenalpasti?
Tadlis dapat dikesan melalui dua perkara:
1. Pengakuan perawi mudallis sendiri apabila ditanya sebagaimana yang berlaku kepada Ibn `Uyainah.
2. Keterangan oleh mana-mana imam dalam bidang ini berdasarkan kepada pengetahuannya yang diperolehi melalui kajian dan penyelidikan.
Kitab-kitab yang terkenal tentang tadlis dan perawi-perawi mudallis
Antara kitab yang paling masyhur ialah:
1. Tiga buah kitab yang ditulis oleh al-Khatib al-Baghdadi, satu kitab tentang senarai mudallis iaitu al-Tabyin Li Asma’ al-Mudallisin dan dua buah lagi tentang bentuk-bentuk tadlis.
2. Al-Tabyin Li Asma’ al-Mudallisin oleh Burhan al-Din bin al-Halabi.
3. Ta`rif Ahl al-Taqdis Bi Maratib al-Mausufin bi al-Tadlis oleh Hafiz Ibn Hajar.
Al-Mursal al-Khafiy
Definisi
Dari segi bahasa mursal adalah kata nama objek daripada perkataan irsal iaitu melepaskan. Seolah-olah perawi hadis mursal melepaskan sanad tanpa menyambungkannya. Al-Khafi (yang tersembunyi) pula lawan kepada al-Jali (yang terang) kerana bentuk Irsal ini tidak jelas dan hanya diketahui melalui kajian.
Menurut istilah ulama pula iaitu hadis yang diriwayatkan daripada perawi yang ditemuinya atau sezaman dengannya dengan menggunakan lafaz seolah-olah ia mendengar daripadanya seperti ‘telah berkata’.
Contohnya:
Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah melalui tariq Umar bin Abd al-Azizi daripada `Uqbah Ibn `Amir.
حدّثنا مُحَمَّدُ بْنُ الصَّبَّاحِ. أَنْبَأَنَا عِبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُحَمَّدٍ ابْنِ زِائِدَةَ، عَنْ عُمَرَ بْنِ عِبْدِ الْعَزِيزِ، عَنْ عُقْبَةَ بْنِ عَامِرٍ الْجُهْنِيِّ؛ قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم:
((رَحِمَ اللهُ حَارِسَ الْحَرَسِ)).
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Semoga Allah merahmati ketua sekalian pengawal.”
Umar tidak pernah bertemu dengan `Uqbah sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Mizzi di dalam kitabnya, al-Atraf.
Bagaimana Mursal Khafiy Diketahui?
Mursal khafiy dapat dikenali dengan salah satu daripada tiga perkara berikut:
1) Kenyataan oleh sebahagian imam bahawa perawi ini tidak bertemu dengan orang yang dia meriwayatkan daripadanya atau orang yang tidak pernah mendengar sama sekali.
2) Perawi memberitahu bahawa dia tidak pernah bertemu dengan perawi yang dia meriwayatkan daripadanya atau tidak pernah mendengar daripadanya satu hadis pun.
3) Hadis itu datang melalui tariq lain yang mempunyai tambahan perawi di antara perawi tersebut dan orang yang meriwayatkan daripadanya. Cara yang ketiga ini terdapat perbezaan di kalangan ulama kerana kadang-kadang ia termasuk dalam al-Mazid Fi Muttasil al-Asanid.
Hukumnya
Ia adalah hadis daif kerana ia salah satu bentuk munqati`. Apabila jelas terbukti terputusnya sanad itu maka hukumnya adalah munqati`.
Karangan Yang Terkenal
Kitab al-Tafsil Li Mubham al-Marasil karangan al-Khatib al-Baghdadi.
AL-MU`AN`AN DAN AL-MU’ANNAN
Pengantar
Selesai sudah perbincangan hadis-hadis yang ditolak kerana keguguran yang berlaku pada sanad. Oleh kerana kedudukan hadis Al-Mu`an`an dan al-Mu’annan tidak disepakati oleh ulama adakah ianya termasuk dalam muttasil atau munqati`, maka penulis merasakan perlu meletakkannya bersama hadis-hadis yang ditolak kerana keguguran pada sanad.
Takrif Al-Mu`an`an
Dari segi bahasa Al-Mu`an`an adalah kata nama objek daripada `an`an yang bermaksud mengucapkan `an `an (daripada, daripada). Menurut istilah pula, kata-kata perawi daripada fulan daripada fulan.
Contohnya
Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah (1005) katanya:
- حَدَّثَنَا عثمان بْنُ أَبِي شَيْبَة. حَدَّثَنَا معاوية بْن هشام. حَدَّثَنَا سُفْيَان، عَن أسامة بْن زيد ، عَن عثمان بْن عروة، عَن عروة، عَن عائشة؛ قالت:
- قال رَسُول اللَّهِ صَلَى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسلَّمْ ((إن اللَّه وملائكته يصلون على ميامين الصفوف)).
`Uthman bin Ibn Abi Syaibah telah menceritakan kepada kami katanya Mu`awiyah bin Hisyam menceritakan kepada kami katanya Sufyan menceritakan kepada kami daripada Usamah bin Zaid daripada `Uthman bin `Amr daripada `Urwah daripada `Aishah katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t dan para mailakat-Nya berdoa untuk orang-orang berada di bahagaian kanan saf-saf.”
Adakah al-Mu`an`an Hadis Muttasil Atau Munqati?
Ulama berbeza pendapat tentang hadis Al-Mu`an`an.
Ada pendapat mengatakan ianya adalah munqati` sehinggalah terbukti bahawa ia adalah muttasil.
Pendapat yang sahih dan diterima pakai ialah pendapat majoriti ulama dari kalangan ulama hadis, fiqh dan usul. Mereka mengatakan bahawa ia adalah mutassil tetapi dengan beberapa syarat.
Di antara syarat tersebut, dua syarat yang persetujui dan yang lainnya diperselisihkan adakah menjadi syarat atau tidak. Dua syarat yang dipersetujui itu adalah syarat yang mesti iaitu:
1. Perawi yang meriwayatkan secara `an`anah bukan seorang mudallis.
2. Ada kemungkinan pertemuan antara perawi yang meriwayatkan secara `an`anah dengan perawi yang dia mengambil riwayat.
Bagi Imam Muslim, dua syarat ini sudah memadai. Sementara syarat-syarat lain yang diperselisihkan sebagai syarat atau tidak iaitu:
1. Terbukti bertemu. Ini merupakan pendapat Imam al-Bukhari, Ibn al-Madini dan ulama yang tahqiq.
2. Lama bersahabat dan mendampingi guru. Ini adalah pendapat Abu al-Muzaffar al-Sam`ani.
3. Perawi yang diambil riwayat daripadanya secara `an`an mengetahui bahawa perawi yang meriwayatkan secara `an`anah daripadanya telah meriwayatkan daripadanya.
Al-Mu’annan
Dari segi bahasa al-Mu’annan adalah kata nama objek daripada annana yang bermaksud mengucapkan anna anna (bahawa, bahawa). Menurut istilah pula, kata-kata perawi ‘si fulan menceritakan kepada saya bahawa si fulan berkata’.
Hukum al-Mu’annan
1. Imam Ahmad dan sekumpulan ulama mengatakan ia adalah hadis munqati` sehinggalah dapat dibukti bahawa ia bersambung-sambung.
2. Majoriti ulama mengatakan hukum anna sama seperti `an. Secara umumnya dihukumkan sebagai sama` (mendengar secara langsung) mengikut syarat-syarat yang telah disebutkan dahulu.
atas
3.3.3 PERBAHASAN KETIGA : MARDUD DENGAN SEBAB KECAMAN PADA PERAWI
Yang dimaksudkan dengan kecaman perawi ialah mentajrihkannya dengan kata-kata dan mempertikaikannya dari sudut keadilan dan agamanya serta dari sudut ketepatan, hafalan dan kepekaannya.
Sebab-sebab kecaman pada perawi
Sebab kecaman pada perawi ada sepuluh. Lima daripadanya berkait dengan keadilan manakala lima lagi berkait dengan ketepatan.
Sebab-sebab yang berkait dengan keadilan ialah:
1. Berdusta.
2. Dituduh berdusta
3. Fasiq.
4. Bid`ah.
5. Tidak diketahui (jahalah).
Sebab-sebab yang berkait dengan ketepatan ialah:
1. Kesilapan yang jelek.
2. Buruk hafalan.
3. Kelalaian.
4. Banyak kekeliruan.
5. Percanggahan dengan perawi thiqah.
Penulis akan menyebut satu persatu hadis mardud dengan sebab-sebab di atas mengikut tertib sebab kecaman yang paling kuat.
3.3.3.1 MAUDHU’
Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah berdusta atas Rasulullah s.a.w. maka hadisnya itu dinamakan hadis maudhu`.
Definisinya:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada wadha`a al-syai’ iaitu merendahkannya. Dinamakan demikian kerana kedudukannya yang rendah.
Menurut istilah pula, pendustaan yang direka, dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w.
Kedudukannya
Ia adalah hadis dha`if yang paling jelek dan paling keji. Sesetengah ulama menganggapnya sebagai satu bahagian yang tersendiri bukan daripada hadis-hadis dha`if.
Hukum meriwayatkannya
Ulama telah sepakat bahawa tidak halal meriwayatkannya bagi sesiapa yang mengetahui kedudukannya dalam apa bentuk sekalipun melainkan jika diterangkan kepalsuannya berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
عن رسول الله صلى الله عليه وسلم " من حدث عني بحديث يري أنه كذب فهو أحد الكاذبين".
“Sesiapa yang menceritakan daripadaku sesuatu hadis yang kelihatan sebagai palsu maka dia adalah salah seorang pendusta.”
Cara pereka-pereka hadis menyampaikan hadis
1. Sama ada pereka iaitu mencipta ucapannya sendiri kemudian meletakkan satu sanad untuknya lalu dia meriwayatkannya.
2. Atau dia mengambil ucapan ahli hikmat atau orang lain lalu meletakkan sanad untuknya.
Bagaimana hadis mudhu` dikenali
Ia dapat dikenali melalui:
1. Pengakuan oleh pereka itu sendiri seperti pengakuan Abu `Ismah Nuh bin Abi Maryam bahawa dia telah mencipta hadis kelebihan setiap surah al-Quran daripada Ibn Abbas.
2. Sesuatu seperti pengakuan seperti pereka itu menceritakan daripada seorang syaikh. Lalu dia ditanya tentang tahun lahirnya lalu dia menyebutkan tahun kewafatan syaikh tersebut terdahulu dari tahun kelahirannya sendiri dan hadis hadis itu hanya diketahui melaluinya sahaja.
3. Bukti pada perawi. Contohnya ialah perawi itu seorang rafidhah dan hadis pula tentang kelebihan ahli bait.
4. Bukti pada riwayat. Seperti hadis itu mempunyai lafaz yang rapuh atau bercanggah dengan pancaindera atau nash al-Quran yang terang.
Faktor pendorong kepada pemalsuan hadis dan golongan-golongan yang terlibat
1. Mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan mencipta hadis-hadis yang menggalakkan manusia kepada kebajikan dan hadis-hadis yang menakutkan dari melakukan kemungkaran. Pereka-pereka ini adalah kumpulan yang menisbahkan diri mereka kepada zuhud dan kesolehan. Mereka adalah perawi yang paling jahat kerana orang ramai menerima hadis-hadis rekaan mereka kerana percayakan mereka. Di antara mereka ini ialah Maisarah bin Abd Rabbih. Ibn Hibban telah meriwayatkan di dalam kitabnya al-Dhu`fa’ daripada Ibn Mahdi katanya: “Saya bertanya kepada Maisarah bin Abd Rabbih: Dari mana anda bawakan hadis-hadis ini, `siapa yang membaca ini maka pahalanya begini’? Dia menjawab: Saya menciptakannya supaya orang ramai berminat”.
2. Untuk menyokong fahaman, terutamanya fahaman kumpulan-kumpulan politik setelah berlaku fitnah dan kemunculan kumpulan politik seperti Khawarij dan Syi`ah. Setiap kumpulan menciptakan hadis masing-masing bagi menyokong fahaman mereka seperti hadis: Ali sebaik-baik manusia, sesiapa yang meraguinya maka kafir.
3. Serangan terhadap Islam. Golongan ini ialah ahli zindiq yang tidak mampu menghancurkan Islam secara terbuka lalu mereka memilih cara yang keji ini. Mereka telah mencipta sejumlah hadis dengan tujuan memalsukan Islam dan menyerangnya. Di antara mereka ini ialah Muhammad bin Sa`id al-Syami yang telah disalib kerana kezindikannya. Dia telah meriwayatkan daripada Humaid daripada Anas secara marfu`: “Saya adalah penutup sekelian nabi, tidak ada nabi selepasku kecuali siapa yang Allah kehendaki.” Sesungguhnya para ulama hadis telah bangkit menjelaskan kedudukan hadis-hadis maudhu`. Alhamdulillah, syukur di atas nikmat-Nya.
4. Mendampingi pemerintah. Sebahagian mereka yang lemah iman mendekatkan diri dengan para pemerintah dengan mencipta hadis sesuai dengan penyelewengan yang ada pada pemerintah seperti kisah Ghiyath bin Ibrahim al-Nakha`I al-Kufi dengan al-Mahdi ketika dia menemuinya sedang bermain-main dengan burung merpati. Lalu secara langsung dia membawakan dengan sanadnya kepada Rasulullah s.a.w. sebagai bersabda: “Tidak ada perlumbaan kecuali pada pedang, kuda, unta atau burung. Dia telah menambahkan burung kerana al-Mahdi. Mengetahui hal ini, beliau memerintah supaya disembelih merpati itu dan berkata: “Sayalah yang menyebabkan dia berbuat demikian.”
5. Mencari rezeki. Seperti sesetengah tukang cerita yang mencari wang dengan menyampaikan hadis kepada orang ramai. Mereka membawakan cerita-cerita yang menghiburkan dan pelik sehingga orang ramai memberi perhatian dan menghulurkan kepada mereka seperti Abu Sa`id al-Mada’ini.
6. Mencari kemasyhuran. Ini dengan cara mengemukakan hadis-hadis pelik yang tidak ada pada syaikh-syaikh hadis. Mereka memalingkan sanad hadis supaya kelihatan ganjil lalu menarik minat orang lain mendengarnya seperti Abu Dihyah dan Hammad al-Nasibi.
Fahaman al-Karamiyyah dalam masalah mereka hadis
Sekumpulan ahli bid`ah yang dikenali sebagai al-Karamiyyah mendakwa harus mereka hadis-hadis berhubung galakan dan ancaman. Mereka beralasan dengan lafaz tambahan yang diriwayatkan dalam sesetengah jalan hadis: “Sesiapa yang berdusta di atas namaku” iaitu tambahan “untuk menyesatkan manusia”. Tetapi tambahan ini tidak sabit di sisi ulama hadis yang hafiz.
Setengah mereka berkata pula: “Kami berdusta untuk kepentingan baginda bukan untuk kemudaratan baginda.” Dalil ini sangat lemah sekali kerana syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. tidak memerlukan para pendusta untuk melariskannya.
Dakwaan ini bercanggah dengan ijmak umat Islam sehingga Imam Muhammad al-Juwaini menghukumkan kufurnya pereka hadis.
Kesilapan sesetengah ahli tafsir dalam menyebutkan hadis-hadis maudhu`
Sesetengah ahli tafsir melakukan kesilapan dalam menyebutkan hadis-hadis maudhu` di dalam kitab-kitab tafsir mereka tanpa menjelaskan kepalsuannya terutama hadis yang diriwayatkan daripada Ubay bin Ka`ab tentang kelebihan al-Quran surah demi surah. Antara ahli tafsir itu ialah:
1. Al-Tha`labi.
2. Al-Wakidi.
3. Al-Zamakhsyari.
4. Al-Baidhawi.
5. Al-Syaukani.
Kitab-kitab yang masyhur tentang hadis-hadis maudhu`
Kitab al-Maudhu`at karangan Ibn al-Jauzi. Ini merupakan kitab paling awal dalam masalah ini tetapi beliau seorang bermudah dalam menghukumkan sesuatu hadis sebagai maudhu`. Oleh kerana itu, ulama mengkritik dan memberi komentar terhadapnya.
1. Al-La’ali al-Masnu`ah Fi al-Ahadith al-Maudhu`ah karangan al-Suyuti. Ini merupakan ringkasan kepada kitab Ibn al-Jauzi dan komentar terhadapnya dan tambahan yang tidak disebutkan oleh Ibn al-Jauzi.
2. Tanzih al-Syari`ah al-Marfu`ah `an al-Ahadith al-Syani`ah al-Maudhu`ah karangan Ibn `Arraq al-Kanani. Kitab ini adalah ringkasan kepada kedua kitab di atas dan merupakan kitab yang padat, kemas dan berguna.
3.3.3.2 Al-MATRUK
Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah tuduhan berdusta maka hadisnya itu dinamakan hadis matruk.
Definisinya:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada al-tark iaitu meninggalkan. Orang Arab menamakan telur yang telah menetas dan keluar anak burung darinya sebagai al-tarikah iaitu yang ditinggalkan kerana tidak mempunyai faedah.
Dari segi istilah pula hadis yang sanadnya terdapat perawi yang dituduh berdusta.
Sebab dituduh berdusta
Hadis tersebut hanya diriwayatkan melaluinya sahaja dan bercanggah dengan kaedah-kaedah umum.[1]
Perawi itu diketahui berdusta dalam percakapan biasa tetapi tidak jelas dia berdusta dalam hadis.
Contohnya
Hadis `Amar bin Syamir al-Ju`fi al-Syi`i daripada Jabir daripada Abu al-Tufail daripada `Ali dan `Ammar kata mereka berdua: “Rasulullah s.a.w. membaca qunut di dalam sembahyang subuh, bertakbir pada hari Arafah pada sembahyang zuhur dan melakukan perjalanan setelah sembahyang Asar pada hari tasyriq yang terakhir”.
Al-Nasa’i, al-Daruqutni dan ulama lain berkata `Amar bin Syamir: Dia seorang matruk al-hadith.
Kedudukannya
Kita telahpun mengetahui bahawa hadis dha`if yang paling jelek ialah maudhu` kemudian matruk kemudian munkar kemudian mu`allal kemudian mudraj kemudian maqlub dan mudhtarib. Begini tertib kedudukannya yang dikemukakan oleh Hafiz Ibn Hajar.
3.3.3.3 AL-MUNKAR
Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah kesilapan yang jelek atau sering lalai maka hadisnya itu dinamakan hadis munkar.
Definisinya:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada al-inkar iaitu mengingkari lawan kepada mengakui.
Dari segi istilah pula ulama memberikan beberapa takrif yang paling masyhur ialah ialah:
Hadis yang terdapat di dalam sanadnya perawi jelek kesilapannya atau sering lalai atau jelas kefasikannya.
Takrif ini disebutkan oleh Hafiz Ibn Hajar dan beliau menisbahkan kepada orang lain. Al-Baiquni di dalam nazamnya menggunakan takrif ini:
“Hadis yang diriwayatkan oleh perawi dha`if bercanggah dengan perawi thiqah”.
Inilah takrif yang disebutkan dan diterima oleh Ibn Hajar. Dalam takrif ini ada tambahan kepada takrif pertama iaitu percanggahan perawi dha`if dengan riwayat perawi thiqah.
Perbezaan di antara munkar dan syazz
Hadis syazz diriwayatkan oleh perawi maqbul dalam keadaan bercanggah dengan perawi yang lebih utama daripadanya.
Hadis munkar ialah hadis yang diriwayatkan oleh perawi dha`if bercanggah dengan perawi thiqah.
Dengan ini, kedua-dua takrif ini mempunyai persamaan dari sudut percanggahan dan berbeza dari segi perawi syazz adalah maqbul manakala perawi munkar adalah dha`if. Kata Ibn Hajar: “Orang yang telah menyamakan kedua-duanya sesungguhnya dia tidak memerhati dengan baik”.
Contoh
1. Contoh munkar mengikut takrif pertama, hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasa’i dan Ibn Majah daripada riwayat Abu Zukair Yahya bin Muhammad bin Qais daripada Hisyam bin Urwah daripada bapanya daripada Aishah secara marfu`: “Makanlah buah kurma mengkal (hampir masak) dengan yang kering kerana apabila anak Adam memakannya maka syaitan akan marah.” Kata al-Nasai`i: “Ini hadis munkar, Abu Zukair berseorangan meriwayatkannya. Dia seorang syaikh yang soleh. Muslim mengeluarkan hadisnya pada mutaba`at, cumanya keseorangannya dalam periwayatan tidak dapat diterima.
2. Contoh munkar mengikut takrif kedua: hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim melalui jalan Hubayyib bin Habib al-Zayyat daripada Abu Ishaq daripada al-`Aizar bin Huraith daripada Ibn Abbas daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Sesiapa yang mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengerjakan haji, berpuasa dan melayani tetamu maka dia akan memasuki syurga.” Kata Abu Hatim: dia seorang munkar kerana perawi thiqah yang lain meriwayatkan daripada Abu Ishaq secara mawquf dan inilah yang ma`ruf.
Kedudukannya
Daripada dua takrif di atas, dapat diketahui bahawa munkar termasuk dalam kategori hadis dha`if jiddan (sangat dha`if) kerana berdasarkan takrif pertama adalah periwayatan perawi dha`if yang melakukan kesilapan yang jelek atau sering lalai atau fasiq. Manakala menurut takrif kedua periwayatan dha`if yang menyalahi riwayat perawi lain yang thiqah. Kedua-duanya mempunyai kedha`ifan yang bersangatan. Oleh kerana itu, kita telah sebutkan ia berada selepas hadis matruk dari sudut kedha`ifan yang bersangatan.
3.3.3.4 AL-MA’RUF
Definisi:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada `arafa iaitu mengenali.
Dari segi istilah hadis yang diriwayatkan oleh perawi thiqah yang menyanggahi riwayat perawi dha`if.
Dengan makna ini, hadis ma`ruf ialah lawan kepada hadis munkar atau dengan ungkapan yang lebih tepat lawan kepada hadis munkar mengikut definisi Hafiz Ibn Hajar.
Contohnya
Contoh bagi hadis ma`ruf ialah hadis disebutkan pada contoh yang kedua bahagian munkar tetapi melalui jalan perawi-perawi thiqah iaitu secara mawquf setakat Ibn Abbas kerana setelah mengemukakan hadis Hubayyib yang marfu`, Ibn Abi Hatim berkata: “Ia adalah munkar, kerana perawi-perawi thiqah yang lain meriwayatkan daripada Abu Ishaq secara mawquf dan itulah yang ma`ruf.
3.3.3.5 AL-MU’ALLAL
Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah kekeliruan maka hadisnya itu dinamakan hadis mu`llal. Ini adalah sebab yang keenam..
Definisinya:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada a`alla iaitu mencacatkan atau menimpakan penyakit. Kata nama mu`all iaitu yang cacat atau ditimpa penyakit. Binaan perkataan ini mengikut kaedah saraf yang masyhur dan merupakan bahasa yang fasih. Tetapi sebutan al-mu`allal oleh ulama hadis tidak mengikut bahasa yang masyhur. Ada juga di kalangan ulama hadis yang menyebutkan sebagai al-ma`lul. Ini ungkapan yang sangat lemah di sisi ulama bahasa Arab.
Dari segi istilah pula hadis yang kesan mempunyai `illat yang mencacatkan kesahihan hadis walaupun pada zahirnya kelihatan tidak ada.
Definisi `Illah
Sebab yang sukar lagi tersembunyi yang mencacatkan kesahihan hadis. Berdasarkan kepada definisi ini, ulama menyimpulkan `illah tersebut mestilah memenuhi dua syarat iaitu:
1. Sukar dan tersembunyi.
2. Mencacatkan kesahihan hadis.
Jika tidak ada salah satu seperti `illah itu zahir atau tidak mencacatkan maka ia bukan `illah mengikut istilah ulama hadis.
Penggunaan `illah tidak dengan makna istilah
Takrif yang disebutkan dalam perenggan yang lalu adalah maksud `illah di sisi istilah ulama hadis. Bagaimanapun, kadang-kadang mereka menggunakan lafaz `illah bagi menunjukkan sebarang kecaman yang ditujukan kepada hadis walaupun kecaman itu tidak tersembunyi atau mencacatkan.
Kecaman dengan alasan yang tidak tersembunyi atau nyata seperti menyatakan pendustaan perawi, kelalaian, lemah hafalannya atau sebab-sebab lain. Sehinggakan Imam al-Tirmizi menamakan nasakh sebagai `illah.
Kecaman dengan alasan yang tidak mencacatkan seperti alasan percanggahan yang tidak menggugatkan kesahihan hadis seperti memursalkan hadis yang diriwayatkan para perawi thiqah secara bersambung-sambung. Berdasarkan kepada ini sesetengah ulama menyebutkan antara hadis yang sahih ada yang sahih mu`allal.
Keutamaan dan kehalusan ilmu ini dan siapakah yang menguasainya
Mengetahui `illal al-hadith atau kecacatan hadis termasuk dalam bahagian ilmu hadis yang paling utama dan paling halus kerana memerlukan kepada kajian yang mendedahkan `illah yang sukar dan tersembunyi yang hanya dikesan oleh tokoh-tokoh besar dalam ilmu hadis. Bahagian ini hanya dikuasai oleh ahli hadis yang kuat hafalan, pakar dan mempunyai kefahaman yang tajam. Oleh itu, lautan yang dalam ini hanya diredahi oleh sebilangan kecil imam hadis seperti Ali Ibn al-Madini, Ahmad, al-Bukhari, Abu Hatim dan al-Daruqutni.
Sanad manakah yang dimasuki oleh `illah?
`Illah memasuki sanad yang lengkap dengan syarat sahih secara zahir kerana hadis yang daif tidak perlu untuk mencari `illahnya kerana ini tertolak dan tidak diamalkan.
Bagaimana mengetahui `illah
`Illah dapat dikesan dengan berpandukan kepada:
1. Berseorangan perawi dalam riwayat.
2. Percangahan dengan perawi lain.
3. Tanda-tanda lain di samping dua perkara di atas.
Perkara-pekara ini mengingatkan kepada orang yang mengetahui ilmu ini tentang kekeliruan yang berlaku kepada perawi hadis sama ada terdedah kemursalan dalam hadis yang diriwayatkan secara mausul atau mauqufnya hadis yang diriwayatkan secara marfu`. Atau sebuah hadis dimasukkan dalam satu hadis lain atau kekeliruan lain yang membuatkannya hampir yakin lalu menghukumkannya sebagai tidak sahih.
Jalan untuk mengetahui mu`allal
Jalan untuk mengetahuinya ialah dengan menghimpunkan semua jalan sanad hadis dan mengkaji pada perbezaan para perawi dan membandingkan siapakan yang paling tepat dan kemas kemudian memberi keputusan kepada riwayat yang terdapat `illah.
Di mana terletak `illah
1. `Illah terletak pada sanad inilah yang paling banyak seperti alasan illah dengan sebab mauquf atau mursal.
2. `Illah terletak pada matan dan ini paling sedikit seperti hadis yang menafikan bacaan basmalah di dalam sembahyang.
Adakah `illah pada sanad mencacatkan matan hadis
Kadang-kadang illah mencacatkan pada matan di samping mencacatkan pada sanad seperti illah dengan alasan mursal.
Mencacatkan pada sanad sahaja manakala matan sahih seperti hadis Ya`la bin `Ubaid daripada al-Thauri dariapda `Mara bin Dinar daripada Ibn `Umar secara marfu`: “Dua orang yang melakukan jual beli berhak mendapat khiyar”. Ya`la telah waham dalam meriwayatkan daripada al-Thauri dalam kata-katanya `Amar bin Dinar sedangkan yang sebenarnya ialah Abdullah bin Dinar. Matan ini sahih walaupun pada sanad terdapat illah kesilapan kerana masing-masing `Amar dan Abdullah bin Dinar ialah perawi yang thiqah. Tersilap menyebutkan perawi thiqah dengan perawi lain tidak menjejaskan kesahihan matan walaupun lafaz sanad silap.
Karangan yang masyhur tentang hadis mu`allal
1. Kitab al-Illah oleh Ibn al-Madini.
2. `Ilal al-Hadith oleh Ibn Abi Hatim.
3. Al-`Ilal Wa Ma`rifah al-Rijal oleh Ahmad bin Hanbal.
4. Al-`Ilal al-Kabir oleh al-Tirmizi.
5. Al-`Ilal al-Saghir oleh al-Tirmizi.
6. Al-`Ilal al-Waridah Fi Ahadith al-Nabawiyyah oleh al-Daruqutni. Kitab ini adalah yang paling lengkap dan paling detail.
Percanggahan dengan perawi-perawi thiqah
Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah percanggahan dengan perawi-perawi thiqah maka timbul lima kategori hadis yang lain iaitu mudraj, maqlub, mazid fi muttasil al-asanid, mudhtarib dan musahhaf.
1. Jika percanggahan yang melibatkan perubahan siyaq sanad atau memasukkan mawquf dalam marfu` maka ia dinamakan mudraj.
2. Jika percanggahan yang melibatkan mendahulukan atau mengkemudiankan maka ia dinamakan maqlub.
3. Jika percanggahan yang berkait dengan penambahan perawi maka ia dinamakan mazid fi muttasil al-asanid.
4. Jika percanggahan yang berkait dengan menukar perawi dengan perawi lain atau wujud pertentangan yang saling menolak pada matan dan tidak dapat ditarjihkan maka ia dinamakan mudhtarib.
5. Jika percanggahan yang melibatkan perubahan lafaz tetapi konteks ayat tetap kekal maka ia dinamakan musahhaf.
3.3.3.6 MUDRAJ
Definisinya:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada adraja iaitu memasukkan sesuatu ke dalam benda lain.
Dari segi istilah pula hadis yang diubah siyaq sanadnya atau dimasukkan ke dalam matan sesuatu yang lain tanpa pemisah.
Bahagiannya
Mudraj terbahagi kepada dua iaitu mudraj al-Isnad dan mudraj al-Matn.
Mudraj al-Isnad
Definasi ialah hadis yang diubah siyaq sanadnya.
Bentuknya ialah perawi mengemukakan sanad tiba-tiba berlaku sesuatu lalu dia mengucapkan perkataannya sendiri. Dalam keadaan demikian orang yang mendengar ucapan tersebut menyangka itu termasuk dalam matan sanad itu lalu dia meriwayatkan begitu.
Contoh: kisah Thabit bin Musa al-Zahid dalam riwayatnya: “Siapa yang banyak bersolat malam wajahnya akan berseri-seri di siang hari. Asal ceritanya ialah Thabit bin Musa datang menemui Syarik bin Abdullah al-Qadhi. Pada ketika itu beliau, membacakan hadis untuk dicatat. Beliau berkata al-A`masy telah menceritakan kepada kami daripada Abu Sufyan daripada Jabir katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “…. Kemudian beliau diam untuk memberi ruang kepada pencatat untuk menulis. Apabila beliau terpandang Thabit lantas berkata: “Siapa yang banyak bersolat malam wajahnya akan berseri-seri di siang hari. Beliau memaksudkan dengan kata-kata itu akan Thabit kerana kezuhudan dan kewarakannya. Tetapi Thabit menyangka itu matan sanad tersebut lalu menyampaikan riwayat tersebut sebagai hadis.
Mudraj al-Matn
Takrifnya ialah hadis yang dimasukkan ke dalam matannya sesuatu yang lain tanpa pemisah.
Mudraj al-Matn terbahagi kepada tiga:
1. Tambahan berlaku pada permulaan hadis. Ini tidak banyak berlaku.
2. Tambahan berlaku pada pertengahan hadis. Ini jarang berlaku.
3. Tambahan berlaku pada akhir hadis. Ini yang biasa berlaku.
Contoh tambahan berlaku pada permulaan hadis:
Sebabnya perawi menyebutkan satu ucapan yang berdalilkan kepada hadis itu lalu dia mengucapkannya tanpa pemisah. Lalu pendengar menyangka keseluruhan itu adalah hadis. Contohnya ialah riwayat yang dinukilkan daripada al-Khatib daripada Abi Qatan dan Syababah daripada Syu`bah daripada Muhammad bin Ziyad daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sempurnakan wuduk, neraka Wail bagi tumit yang tidak dibasahi.” Kata-kata “Sempurnakan wuduk” adalah tambahan daripda ucapan Abu Hurairah seperti yang dinyatakan dalam riwayat al-Bukhari daripada Adam daripada Syu`bah daripada Muhammad bin Ziyad daripada Abu Hurairah katanya: “Sempurnakan wuduk, kerana sesungguh Abu al-Qasim (Rasulullah s.a.w.) bersabda: “Neraka Wail bagi tumit yang tidak dibasahi.”
Abi Qatan dan Syababah telah keliru dalam riwayatnya dariapda Syu`bah seperti yang kami telah kemukakan. Hadis ini telah diriwayatkan oleh sekumpulan yang ramai seperti riwayat Adam.
Contoh tambahan berlaku pada pertengahan hadis.
Hadis `A’ishah berkenaan permulaan wahyu iaitu: “Rasulullah s.a.w. bertahannuth – iaitu beribadat- beberapa malam di Gua Hira”. Kata-kata “iaitu beribadat” adalah tambahan daripada al-Zuhri.
Contoh tambahan berlaku pada akhir hadis.
Hadis Abu Hurairah secara marfu`: “Hamba yang dimiliki mempunyai dua ganjaran pahala, demi yang nyawaku di tangan-Nya kalaulah tidak kerana jihad di jalan Allah, haji dan berbakti kepada ibuku maka saya suka sekali untuk mati sebagai seorang hamba.”
Kata-katanya: “demi yang nyawaku…hingga akhir” adalah ucapan Abu Hurairah kerana mustahil itu terbit daripada Rasulullah s.a.w. kerana tidak mungkin baginda bercita-cita untuk menjadi hamba dan ibunya pula tidak ada untuk baginda berbakti kepadanya.
Faktor-faktor Idraj
Faktor-faktor kepada berlakunya Idraj sangat banyak, yang paling masyhur ialah:
1. Menjelaskan hukum syara`.
2. Menyimpulkan hukum syara` daripada hadis sebelum selesai menyebutkan hadis.
3. Menjelaskan lafaz yang sukar di dalam hadis.
Bagaimana diketahui Idraj
Idraj dapat diketahui melalui perakara-perkara berikut:
1. Hadis itu datang secara terperinci melalui riwayat yang lain.
2. Penjelasan bahawa berlakunya idraj oleh ulama yang mahir.
3. Pengakuan perawi sendiri bahawa dia telah memasukkan ucapannya.
4. Mustahil sesuatu ucapan itu datang daripada Rasulullah s.a.w.
Hukum Idraj
Ulama hadis dan fiqh serta lain-lain telah sepakat bahawa haram melakukan idraj kecuali untuk menafsirkan lafaz yang sukar kerana itu tidak dilarang. Oleh kerana itu al-Zuhri dan imam hadis yang lain ada melakukannya.
Karangan yang terkenal:
1. Al-Fasl Li al-Wasl al-Mudraj Fi al-Naql. Oleh al-Khatib al-Baghdadi.
2. Taqrib al-Manhaj bi Tartib al-Mudraj oleh Ibn Hajr. Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab al-Khatib dengan sedikit tambahan.
3.3.3.7 AL-MAQLUB
Definisinya:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada al-qalb iaitu memusingkan sesuatu dari mukanya.
Dari segi istilah pula menukarkan lafaz dengan yang lain pada sanad atau pada matan dengan cara mendahulukan, mengemudiankan atau lain-lain.
Bahagian-bahagiannya
Hadis maqlub terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu Maqlub al-Sanad dan Maqlub al-Matn.
Maqlub al-Sanad:
Penukaran yang berlaku pada sanad. Ia mempunyai dua bentuk:
1. Perawi mendahulukan dan mengemudiankan nama salah seorang perawi dan nama ayahnya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ka`b bin Murrah lalu seorang meriwayatkan dengan Murrah bin Ka`b.
2. Perawi menukarkan seseorang dengan seorang yang lain dengan tujuan untuk menjadikannya gharib seperti hadis yang terkenal daripada Salim lalu dijadikan daripada Nafi`.
Antara perawi yang sering melakukannya ialah Hammad bin `Amr al-Nasibi. Contohnya ialah: Hadis yang diriwayatkan oleh Hammad bin `Amr al-Nasibi daripada al-A`masy bin Abu Salih daripada Abu Hurairah secara marfu`: “Apabila kamu bertemu dengan orang musyrik di jalanan maka jangan dahulukan mereka dengan ucapan salam.” Hadis ini maqlub kerana Hammad telah menukarkannya dengan menjadikannya daripada al-A`masyh. Sebenarnya hadis ini ma`ruf daripada Suhail bin Abu Salih daripada bapanya daripada Abu Hurairah. Beginilah yang ditakhrijkan oleh Muslim di dalam Sahihnya. Bentuk penukaran ini menyebabkan perawinya dikenali sebagai pencuri hadis.
Maqlub al-Matn:
Penukaran yang berlaku pada matan. Ia mempunyai dua bentuk:
Perawi mendahulukan dan mengemudiankan sebahagian matan hadis. Contohnya: Hadis Abu urairah di dalam Sahih Muslim tentang tujuh golongan yang mendapat teduhan Allah pada hari tiada teduhan selain teduhan-Nya. Lafaz tersebut ialah: “dan seorang lelaki bersedekah dengan menyembunyikannya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kirinya.” Ini adalah penukaran yang telah dilakukan oleh setengah perawi. Sebenarnya ialah: “Sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya.”
Perawi letakkan matan sebuah hadis pada sanad yang lain dan meletakkan sanad hadis pada matan lain. Tujuannya antara lain ialah untuk menguji. Contohnya sekumpulan ulama hadis Baghdad telah membalikkan seratus hadis untuk Imam al-Bukhari dan bertanya kepada beliau sebagai menguji daya ingatannya. Lalu beliau mengembalikan kesemua hadis yang telah dibalikkan kepada keadaan asalnya tanpa melakukan sedikit kesalahan pun.
Sebab-sebab yang mendorong membalikkan hadis.
Bermacam-macam sebab yang mendorong berlaukannya pembalikan pada hadis antara sebabnya ialah:
1. Bertujuan untuk menjadikan hadis itu gharib lalu orang ramai tertarik untuk mengambil dan meriwayatkannya. Untuk menguji dan memastikan daya hafalan seorang ulama hadis dan juga ketepatannya.
2. Berlaku kesilapan yang tidak disengajakan.
Hukum membalikkan hadis
1. Jika membalikkan itu dengan tujuan menjadikannya gharib, tidak syak lagi itu tidak harus kerana mengubah hadis dan ini kerja pereka-pereka hadis.
2. Jika dengan tujuan untuk menguji maka harus bagi mendapatkan kepastian ingatan ulama hadis dan sejauh mana keahliannya. Bagaimanapun sebelum majlis itu berakhir hendaklah dijelaskan manakah sebenarnya yang sahih.
3. Jika berlaku secara tersilap atau lupa maka pelakunya dimaafkan tetapi apabila sering kali berlaku itu mencacatkan ketepatannya dan menjadikannya perawi yang dhaif.
Ringkasnya hadis maqlub termasuk dalam kategori hadis dhaif yang ditolak sebagaimana yang jelas diketahui.
Karangan yang terkenal
Rafi al-irtiyab Fi al-Maqlub Min al-Asma’ Wa al-Alqab karangan al-Khatib al-Baghdadi. Daripada namanya, yang jelas ialah kitab ini khusus dengan hadis maqlub sanad sahaja Iaitu kaedah-kaedah yang disimpulkan ulama daripada keseluruhan nash-nash syara` yang sahih seperti kaedah, ‘pada asalnya seseorang tidak menanggung sebarang tanggungan.
3.3.3.8 AL-MAZID FI MUTTASIL AL-ASANID
Definisinya:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada al-ziyadah iaitu menambahkan. Al-Muttasil antonim bagi al-Munqati` dan al-Asanid jamak bagi Isnad.
Dari segi istilah pula bermaksud penambahan perawi pada pertengahan sanad yang zahirnya kelihatan bersambung-sambung.
Contohnya:
مَا رَوَى ابنُ المبَارِك قالَ : حَدَّثنَا سُفْيَانُ عَنْ عَبْدِ الرَّحمنِ بنِ يزِيد حدَّثَني بُسْرُ بن عُبَيْدِ اللَّهِ قالَ : سَمِعتُ أَبا إِدْرِيسَ قالَ : سَمِعتُ وَاثلَةَ يقُولُ : سِمِعتُ أَبَا مَرْثدٍ يَقُولُ : سَمِعتُ رَسُول اللَّهِ صَلّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ يقُولَ : « لا تَجْلِسُوا عَلَى الْقُبُورِ »
Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn al-Mubarak, katanya Sufyan telah menceritakan kepada kami daripada Abdul Rahman bin Yazid katanya Busr bin `Ubaidullah telah menceritakan kepada kami katanya saya mendengar Abu Idris berkata saya mendengar Wathilah berkata saya mendengar Abu Marthed berkata saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan kamu duduk di atas kubur dan jangan bersembahyang dengan menghadapnya.”(diriwayatkan oleh Muslim manakala al-Tirmizi meriwayatkan dengan menambahkan lafaz Abu Idris dan dengan tidak menambahkannya)
Penambahan dalam contoh di atas
Penambahan dalam contoh di atas berlaku pada dua tempat. Tempat pertama pada lafaz Sufyan dan tempat kedua pada lafaz Abu Idris. Sebab berlakunya penambahan pada kedua-dua tempat ini adalah waham daripada perawi.
1. Lafaz Sufyan adalah waham daripada perawi sebelum Ibn al-Mubarak kerana beberapa orang perawi thiqah meriwayatkan hadis ini daripada Ibn al-Mubarak daripada Abdul Rahman bin Yazid malah sesetengah mereka jelas menyebutkan secara jelas pengkhabaran Abdul Rahman bin Yazid kepada Ibn al-Mubarak.
2. Penambahan lafaz Abu Idris itu adalah waham yang berpunca daripada Ibn al-Mubarak kerana beberapa orang perawi thiqah meriwayatkan hadis ini daripada Abdul Rahman bin Yazid tanpa menyebutkan Abu Idris. Di antara mereka ada yang menyebutkan dengan jelas Busr mendengar secara langsung daripada Wathilah.
Syarat-syarat penolakan penambahan perawi
Dua syarat mesti dipenuhi bagi menolak tambahan itu dan dianggap itu sebagai waham daripada perawi menambahkannya:
1. Perawi yang tidak menambahkan itu lebih kuat ingatan dan kemas daripada perawi yang menambahkan.
2. Adanya penjelasan bahawa perawi mendengar sendiri pada tempat tambahan. Sekiranya kedua-dua syarat ini tidak dipenuhi tambahan dikira sebagai kuat dan diterima. Sanad yang tidak mempunyai tambahan ini dianggap sebagai munqati`. Cuma terputus sanad itu secara tersembunyi dan dinamakan sebagai al-Mursal al-Khafiy.
Kritikan terhadap dakwaan wujudnya penambahan
Dakwaan wujudnya penambahan itu dikritik dengan dua perkara:
1. Jika sanad yang tidak mempunyai tambahan itu dengan lafaz عن pada tempat tambahan maka sepatutnya sanad itu dianggap munqati`.
2. Jika dinyatakan dengan jelas perawi itu mendengar sendiri, ada kemungkinan dia mendengar hadis itu melalui perantaraan seorang perawi kemudian baru dia mendengar secara langsung.
Kritikan ini boleh dijawab dengan berikut:
1. Kritikan pertama boleh diterima dan masuk akal.
2. Andaian pada kiritikan kedua itu mungkin terjadi. Bagaimanapun ulama tidak memutuskan penambahan itu sebagai waham kecuali bila terdapat tanda dan bukti.
Karangan yang terkenal
Tamyiz al-Mazid Fi Muttasil al-Asanid karangan al-Khatib al-Baghdadi.
3.3.3.9 AL-MUDHTARIB
Definisinya:
Dari segi bahasa ia adalah kata nama pelaku daripada al-Idhtirab iaitu keadaan tidak tetap dan kucar-kacir. Asalnya daripada idhtarab al-Mauj iaitu laut bergelora apabila banyak pergerakan dan saling memukul .
Dari segi istilah pula hadis yang diriwayatkan secara berlainan tetapi sama dari segi kekuatan.
Huraian takrif
Hadis yang diriwayatkan dengan cara yang saling bertentangan sehingga tidak dapat diselaraskan antara satu sama lain. Kesemua riwayat itu sama kuat dari semua sudut sehingga tidak dapat ditarjihkan dengan mana-mana sudut pentarjihan.
Syarat kewujudannya
Dengan memerhatikan kepada takrif dan huraiannya, jelas bahawa sesebuah hadis tidak dinamakan dengan mudhtarib kecuali dengan memenuhi dua syarat berikut:
1. Perbezaan riwayat-riwayat hadis sehingga tidak dapat diselaraskan.
2. Riwayat-riwayat tersebut dari segi kekuatan sehingga tidak dapat ditarjihkan satu riwayat daripada riwayat yang lain.
Namun apabila salah satu riwayat dapat ditarjihkan atau boleh dijamakkan dengan cara yang diakui maka sifat tidak tetap atau kegoncangan itu hilang daripada hadis tersebut. Dalam hal pentarjihan, riwayat yang ditarjihkan itu diamalkan manakala dalam hal penyelarasan, maka kesemua riwayat yang diselaraskan dapat diamalkan.
Bahagian-bahagiannya:
Berdasarkan kepada tempat berlaku kegoncangan, mudhtarib terbahagi kepada dua, mudhtarib al-Sanad dan mudhtarib al-Matn.
Mudhtarib al-Sanad
Contohnya,
حديث أبي بكر رضي الله عنه أنه قال يا رسول الله أراك شبت, قال شيّبتني هود وأخواتها.
Hadis Abu Bakar katanya: “Wahai Rasulullah, saya melihat tuan sudah beruban. Baginda menjawab: “Surah Hud dan saudara-saudaranya telah menyebabkan saya beruban.”
Al-Daruqutni berkata: Ini hadis mudhtarib kerana ia hanya diriwayatkan daripada jalan Abu Ishaq. Lebih kurang terdapat sepuluh cara bagaimana hadis ini diriwayatkan daripadanya. Ada dari kalangan perawi meriwayatkannya secara mursal, ada secara mawsul (bersambung-sambung), ada yang menjadikannya musnad Abu Bakar, ada yang menjadikannya musnad Sa`ad, ada yang menyebutkannya sebagai musnad `Aishah dan sebagainya. Perawi-perawinya adalah thiqah dan tidak dapat tarjihkan antara satu sama lain begitu juga tidak dapat diselaraskan.
Mudhtarib al-Matn
Contohnya, hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi
عن شريكٌ عن أَبي حمزَةَ عن الشَّعبيِّ عن فاطمةَ ابنةِ قَيسٍ قَالَتْ: سأَلتُ أَو سُئِلَ النَّبيُّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عن الزَّكاةِ فَقَالَ: "إِنَّ في المالِ لحقاً سوى الزَّكاةِ"
Daripada Syarik daripada Abu Hamzah daripada al-Sya`bi daripada Fatimah binti Qais katanya: “Rasulullah s.a.w. telah ditanya tentang zakat. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya dalam harta itu ada hak selain zakat.
Dan Ibn Majah meriwayatkan sanad ini dengan lafaz:
ليس في المال حق سوى الزَكَاة
“Tidak ada hak dalam harta selain dari zakat.
Kata al-Iraqi: ini adalah kegoncangan yang tidak dapat ditakwilkan.
Siapakah punca berlakunya kegoncangan
Kadang-kadang kegoncangan berpunca daripada seorang perawi sahaja iaitu dengan meriwayatkan hadis yang sama dengan pelbagai cara.
Kadang-kadang terjadi kerana kumpulan perawi yang ramai iaitu masing-masing meriwayatkan dengan cara yang berbeza antara satu sama lain.
Sebab dha`ifnya hadis mudhtarib
Dha`ifnya hadis mudhtarib kerana kegoncangan itu menunjukkan kepada ketidaktepatan para perawinya.
Kitab yang masyhur
Al-Muqtarib Fi Bayan al-Mudhtarib oleh Hafiz Ibn Hajar.
3.3.3. 10 AL-MUSAHHAF
Definisinya
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada al-Tashif iaitu kesilapan dalam catatan. Al-Suhufi iaitu orang yang melakukan kesilapan dalam membaca catatan lalu mengubah beberapa lafaz kerana salah membaca.
Dari segi istilah pula mengubah perkataan dalam hadis kepada yang bukan diriwayatkan oleh perawi-perawi thiqah secara lafaz atau makna.
Kepentingan tentang al-Musahhaf
Ia merupakan ilmu yang sangat utama dan halus. Kepentingannya dalam menjelaskan kesilapan yang dilakukan oleh para perawi. Tugas yang begitu berat ini hanya dapat dipikul oleh ulama hadis yang bijaksana dan tajam pemikirannya seperti al-Daruqutni.
Pembahagian
Ulama telah membahagikan al-musahhaf kepada tiga pengelasan.
1) Berdasarkan kepada tempat berlaku.
Dilihat kepada tempat berlaku, al-Musahhaf terbahagi kepada dua iaitu:
1. Tashif pada sanad
Hadis Syu`bah daripada al-`Awwam bin Ibn Murajim. Ibn Main telah melakukan tashif dengan mengatakan “daripada al-`Awwam bin Muzahim.
2. Tashif pada matan.
Contohnya hadis Zaid bin Thabit bahawa Rasulullah s.a.w. berada di dalam masjid. Ibn Lahi`ah telah melakukan tashif dengan mengatakan Rasulullah s.a.w. telah berbekam di dalam masjid
2) Berdasarkan kepada punca.
Dilihat kepada puncanya, musahhaf terbahagi kepada dua:
1. Tashif penglihatan. Ini yang sering berlaku.
Tulisan mengelirukan penglihatan pembaca sama ada tulisan yang jelek atau tidak bertitik.
Contohnya hadis:
Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian mengikutinya enam hari dalam bulan Syawwal…
Abu Bakar al-Suli telah melakukan tashif dengan menyebutkan:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian mengikutinya dengan sesuatu dalam bulan Syawwal”… beliau telah mentashifkan ستا kepada شيئا
2. Tashif pendengaran
Tashif yang berpunca daripada pendengaran yang tidak jelas atau pendengar berada jauh dan sebagainya lalu dia terkeliru dengan sesetengah perkataan kerana ia mempunyai kesamaan timbangan soraf.
Contohnya hadis yang diriwayatkan oleh `Asim al-Ahwal. Sebahagian perawi telah mentashifkan dengan menyebutkan daripada Wasil al-Ahdab.
3) Berdasarkan kepada lafaz atau makna
Dilihat kepada lafaz dan makna, tashif terbahagi kepada tashif pada lafaz dan tashif pada makna.
1. Tashif pada lafaz
2. Tashif ini banyak berlaku. Contohnya sama seperti contoh-contoh di atas.
Tashif pada makna
Iaitu perawi yang melakukan tashif itu mengekalkan lafaz dengan keadaanya tetapi dia mentafsirkannya dengan cara dia memahami makna itu tidak mengikut makna yang asal. Contohnya kata-kata Abu Musa al-`Anazi:”Kami adalah kaum yang mempunyai kemuliaan. Rasulullah s.a.w. bersembahyang dengan menghadap ke arah kami.” Beliau maksudkan dengan hadis: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersembahyang dengan menghadap `anazah (tombak). Beliau telah waham bahawa baginda bersembahyang menghadap ke kabilah mereka sedangkan `anazah itu ialah tombak yang dipacakkan di hadapan orang yang bersembahyang.
Pembahagian al-Hafiz Ibn Hajar
al-Hafiz Ibn Hajar telah membahagikan Tashif kepada pembahagian lain denagn menjadikannya dua bahagian iaitu:
Musahhaf dan Muharraf.
1. Musahhaf: Hadis yang terdapat perubahan yang merujuk kepada titik huruf dalam keadaan tulisan tetap kekal tidak berubah.
2. Muharraf: Hadis yang terdapat perubahan yang merujuk kepada baris dalam keadaan tulisan tetap kekal tidak berubah.
Adakah tashif menjejaskan keadilan perawi?
Apabila tashif itu jarang-jarang terbit daripada seorang perawi maka itu tidak menjejaskan ketepatannya kerana tidak ada orang yang terselamat daripada kesilapan dan tashif yang sedikit.
Sebaliknya jika sering berlaku maka menjejaskan ketepatannya, menunjukkan kepada kelemahannya dan dia bukanlah tokoh dalam bidang ini.
Sebab berlakunya tashif yang banyak pada perawi
Kebiasaannya tashif yang banyak berlaku pada perawi kerana dia mengambil hadis melalui kitab dan catatan tanpa menerima daripada guru-guru. Ulama hadis berkata: “Janganlah kamu mengambil hadis daripada suhufi” maksudnya jangan kamu mengambil hadis daripada orang yang mengambilnya melalui catatan.
Kitab-kitab yang masyhur
1. Al-Tashif oleh al-Daruqutni.
2. Islah Khata’ al-Muhaddithin oleh al-Khattabi.
3. Tashifat al-Muhaddithin oleh Abu Hamid al-`Askari.
3.3.3.11 AL-SYAZZ
Definisi:
Dari segi bahasa Syazz ialah kata nama pelaku daripada syazza iaitu berseorangan. Syazz bermakna seseorang yang bersendirian daripada orang lain.
Dari segi istilah pula: Hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang maqbul dalam keadaan bercanggah perawi yang lebih utama daripadanya.
Huraian Takrif:
Perawi maqbul ialah perawi adil yang sempurna ketepatannya atau perawi adil yang kurang ketepatannya. Perawi yang lebih utama daripadanya ialah perawi yang lebih kuat dan utama kerana mempunyai kelebihan ketepatan atau lebih bilangan atau mempunyai kelebihan sudut-sudut tarjih yang lain.
Bagaimanapun ulama berbeza pendapat dalam mengemukakan definisi hadis syazz tetapi inilah takrif yang dipilih Hafiz Ibn Hajar dan beliau mengulas: Inilah yang diakui berkenaan takrif syazz mengikut istilah.” [1]
Di mana berlakunya syazz
Sebagaimana syazz berlaku pada sanad begitu juga terdapat pada matan.
Contoh syazz pada sanad ialah:
Hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ibn Majah melalui jalan Ibn `Uyainah dari `Amar bin Dinar daripada `Ausajah daripada Ibn Abbas bahawa seorang lelaki telah meninggal dunia pada zaman Rasulullah s.aw. dalam keadaan tidak meninggalkan waris kecuali seorang hamba yang dibebaskannya. Ibn Juraih menjadi mutabi` kepada Ibn `Uyainah dan perawi lain dengan mewasalkannya (menyambungkannya) tetapi Hammad bin Zaid menyanggahinya dengan meriwayatkan daripada `Amar bin Dinar daripada `Ausajah tanpa menyebut Ibn Abbas.
Oleh kerana itu, Abu Hatim mengatakan: “Hadis yang mahfuz (terpelihara) ialah hadis Ibn `Uyainah. Hammad bin Zaid adalah dari kalangan perawi yang adil dan kemas bagaimanapun Abu Hatim mentarjihkan riwayat perawi yang lebih ramai bilangan.
Contoh syazz pada matan:
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi dari hadis Abdul Wahid bin Ziyad daripada al-A`masy daripada Abi Soleh daripada Abu Hurairah secara marfu`: “Apabila salah seorang dari kamu telah sembahyang sunat subuh hendaklah dia berbaring atas lambung kanannya. Kata al-Baihaqi, Abdul Wahid telah menyanggahi perawi yang ramai dalam perkara ini. Sebenarnya mereka meriwayatkan hadis itu sebagai perbuatan Rasulullah bukan ucapannya. Dari kalangan murid al-A`masy, Abdul Wahid telah berseorangan meriwayatkan dengan lafaz ini.
3.3.3.12 AL-MAHFUZ
Hadis yang berlawanan dengan Syazz ialah Mahfuz iaitu hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah dalam keadaan bercanggah dengan perawi thiqah. Contohnya adalah sama dengan contoh bahagian syazz.
Hukum hadis syazz dan mahfuz:
Sebagaimana diketahui syazz adalah hadis yang ditolak manakala hadis mahfuz adalah hadis maqbul.
3.3.3.13 KETIDAKTAHUAN TENTANG PERAWI
Dari segi bahasa adalah kata dasar bagi jahila tidak tahu atau lawan kepada mengetahui. Ketidaktahuan tentang perawi bermaksud tidak mengenalinya. Dari segi istilah pula ialah tidak mengetahui diri perawi atau keadaannya.
Sebab-sebabnya
Ada tiga sebab mengapa perawi tidak dikenali:
1. Banyak pengenalan pada perawi: sama ada nama, kunyah, gelaran, sifat, kemahiran atau nisbah dan dia dikenali yang satu daripadanya lalu disebut bukan dengan sebutan yang dia dikenali dengan tujuan-tujuan tertentu. Ini menyebabkan dia dianggap perawi lain seterusnya menyebabkan ketidaktahuan tentang keadaannya.
2. Sedikit riwayatnya: dengan itu tidak ramai perawi yang mengambil riwayat daripadanya boleh jadi seorang sahaja yang meriwayatkan daripadanya.
3. Tidak dijelaskan namanya: disebabkan untuk meringkaskan atau sebagainya. Perawi yang tidak dijelaskan namanya dipanggil sebagai perawi mubham.
Contoh-contohnya
Banyak sifat pada perawi: Muhammad bin al-Sa’ib bin Bisyr al-Kalbi. Sebahagian perawi menisbahkannya kepada datuknya dengan mengatakan Muhammad bin Bisyr. Sebahagiannya pula meletakkan kunyah Abu al-Nadhr, ada yang menyebutkan Abu Sa`id, Abu Hisyam lalu menyebabkan dia disangka sebagai ramai sedangkan seorang sahaja.
Sedikit riwayatnya dan sedikit pula perawi daripadanya: Abu al-`Usyara’ al-Darimi seorang tabi`i, tidak ada yang meriwayatkan daripadanya kecuali Hammad bin Salamah.
Tidak dijelaskan namanya: seperti kata perawi: Si fulan atau syaikh atau seorang lelaki telah menkhabarkan kepadaku.
Takrif al-Majhul
Iaitu perawi yang tidak dikenali diri dan sifatnya. Maksudnya perawi yang tidak diketahui siapa sebenarnya atau peribadinya atau peribadinya diketahui tidak diketahui keperibadiannya iaitu keadilan dan ketepatannya.
Bahagian perawi majhul
Perawi majhul dapat dibahagikan kepada tiga:
Majhul al-`Ain.
Takrifnya: perawi yang disebutkan namanya tetapi tidak ada yang meriwayatkan daripadanya kecuali seorang sahaja.
Hukum periwayatannya: tidak diterima kecuali bila dinyatakan tentang kethiqahannya.
Bagaimana kethiqahannya dinyatakan: Kethiqahannya dapat dibuktikan dengan salah satu daripada dua cara ini: dia dinyatakan sebagai thiqah oleh perawi yang bukan meriwayatkan daripadanya. Atau dinyatakan thiqah oleh perawi yang meriwayatkan daripadanya dengan syarat dia dari kalangan ulama al-Jarh wa al-ta`dil.
Adakah hadisnya itu mempunyai nama khusus?
Hadisnya itu tidak mempunyai nama khusus tetapi diletakkan di bawah hadis dha`if.
Majhul al-Hal (dinamakan juga al-Mastur)
Definisi: Perawi yang diriwayatkan daripadanya oleh dua orang atau lebih tetapi tidak ditawsiqkan.
Hukum periwayatannya: tidak diterima mengikut pendapat yang sahih di sisi majoriti ulama.

3.3.3.14 AL-MUBHAM
Definisi:
Perawi yang tidak dinyatakan dengan jelas namanya di dalam hadis.
Hukum periwayatannya: tidak diterima sehinggalah perawi yang meriwayatkan daripadanya menyatakan namanya atau namanya diketahui, melalui jalan yang lain yang menyebutkan dengan jelas namanya.
Sebab hadisnya ditolak ialah tidak diketahui siapa dirinya kerana orang yang disamarkan namanya tidak akan diketahui dirinya dan apatah lagi tentang keadilannya tidak diketahui. Oleh itu periwayatannya tidak diterima.
Adakah diterima periwayatan perawi yang disamarkan dengan lafaz ta`dil? Contohnya seperti kata seorang perawi yang meriwayatkan daripadanya: “perawi thiqah telah menceritakan kepada saya”?
Jawapan: mengikut pendapat yang sahih riwayatnya juga tidak diterima kerana boleh jadi thiqah padanya tetapi tidak di sisi orang lain.
Adakah Hadisnya Itu Mempunyai Nama Khusus?
Jawapan: Ya, hadisnya mempunyai nama khusus iaitu hadis Mubham. Ia adalah hadis yang terdapat di dalamnya perawi yang tidak dinyatakan namanya. Kata al-Baiquni di dalam bait-bait syairnya: dan mubham itu di dalamnya perawi yang tidak dinamakan.
Kitab-Kitab Terkenal Yang Membahaskan Sebab-Sebab Jahalah Al-Ruwah.
1. Banyak nama: al-Khatib al-Baghdadi menulis kitab Mudhih Awham al-Jam` Wa al-Tafriq.
2. Sedikit riwayat perawi: Berkenaan sebab ini ditulis kitab-kitab al-Wuhdan iaitu kitab yang mengandungi perawi yang seorang sahaja meriwayatkan daripadanya. Antara kitab ini ialah al-Wuhdan karangan Imam Muslim.
3. Tidak dinayatakan nama perawi: Berkenaan sebab ini ditulis kitab-kitab al-Mubhamat seperti kitab al-Asma’ al-Mubhamah Fi al-Anba’ al-Muhkamah oleh al-Khatib al-Baghdadi dan kitab al-Mustafad min Mubhamat al-Matn Wa al-Isnad oleh Waliyuddin al-Iraqi.
3.3.3.15 AL-BID`AH
Definisi:
Dari segi bahasa adalah kata dasar bagi bada`a iaitu mengadakan seperti juga ibtada`a. sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab al-Qamus al-Muhit. Dari segi istilah pula ialah perkara baru dalam agama setelah ianya disempurnakan atau perkara yang direka sama ada dalam bentuk hawa nafsu atau amalan setelah Rasulullah s.a.w..
Bahagian-bahagiannya
Bid`ah mukaffirah iaitu bid`ah yang menyebabkan pengamalnya menjadi kafir seperti dia beri`tiqad dengan sesuatu yang membawa kepada kekufuran. Mengikut pendapat yang diakui, perawi yang ditolak periwayatannya ialah orang yang mengingkari perkara mutawatir yang diketahui sebagai kemestian ajaran agama atau beri`tiqad dengan sebaliknya.
Bid`ah mufassiqah iaitu pengamalnya difasiqkan dengan sebabnya dan ia tidak membawa kepada kekufuran sama sekali.
Hukum periwayatan ahli bid`ah
Jika dia seorang pengamal bid`ah mukaffirah, periwayatannya ditolak.
Jika dia seorang pengamal bid`ah mufassiqah, menurut pendapat yang sahih riwayatnya diterima dengan dua syarat:
1. Dia tidak menyeru kepada bid`ahnya.
2. Dia tidak menwarwarkan bid`ahnya.
Adakah hadis ahli bid`ah mempunyai nama khusus?
Hadis ahli bid`ah tidak mempunyai nama khusus kerana hadisnya sebagaimana anda ketahui termasuk dalam jenis-jenis hadis mardud, tidak boleh diterima kecuali dengan sebab-sebab yang telah disebutkan.
3.3.3.16 BURUK HAFAZAN
Takrif perawi yang buruk ingatan: Perawi yang aspek betulnya tidak kuat berbanding dengan aspek kesilapannya.
Bentuk-bentuknya
Ada dua bentuk:
1. Sama buruk hafalan itu ada bersamanya sejak awal kehidupannya lalu berterusan bersamanya dalam semua keadaannya. Hadisnya dinamakan sebagai syazz mengikut setengah ulama hadis.
2. Sama ada buruk hafalan itu berlaku kemudian sama kerana tua, atau hilang penglihatan atau kitab-kitabnya terbakar. Ini dinamakan al-mukhtalat.
Hukum periwayatannya
Perawi yang sejak dari mula lagi buruk hafalan maka riwayatnya tertolak. Perawi al-mukhtalat pula, hukum tentang periwayatannya mengikut perincian berikut:
1. Hadis yang disampaikannya sebelum berlaku ikhtilat dan dapat dibezakan maka hadisnya maqbul.
2. Hadis yang disampaikannya selepas berlaku ikhtilat maka hukumnya mardud.
3. Hadis yang tidak dapat ditentukan sama ada disampaikan sebelum atau selepas berlaku ikhtilat maka hendaklah ditangguhkan sehingalah jelas kedudukannya.

Post a Comment